Thursday, March 10, 2011

Usah takut periksa payu dara


Oleh ROSMAH DAIN

KANSER payu dara merupakan penyakit utama yang menyebabkan kematian di kalangan wanita. Biarpun ia tidak boleh dicegah, namun jika dikesan lebih awal dan mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin, bekas pesakit kanser mampu untuk menjalani kehidupan yang normal dan aktif.

Malangnya, biarpun, pelbagai kempen dan usaha telah dijalankan untuk memastikan tahap kesedaran di kalangan wanita mengenai pentingnya untuk melakukan pengesanan awal kanser payu dara, namun hakikatnya tidak ramai yang tampil untuk menjalani rawatan.

Kekangannya bukan disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan kesedaran terutamanya golongan wanita di bandar memandangkan tahap pendidikan dan prasarana aktiviti mengenai perkara tersebut tersebar dengan meluas.

Apa yang merisaukan ialah keengganan individu itu sendiri untuk mendapatkan rawatan mahupun menjalani pengesanan awal sama ada mereka melalui 'fasa takut' menjalani rawatan, takut berdepan untuk menerima hakikat sekiranya mereka disahkan menghidap penyakit berkenaan ataupun tidak ambil peduli dan memikirkan penyakit itu tidak akan pernah 'terkena' kepada mereka.

Apa pun faktornya, perkataan 'takut' itu sendiri merupakan penyebab kepada keengganan ramai daripada golongan wanita tidak mahu menjalani pemeriksaan kesihatan mereka.

Ini diakui oleh Penaung kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Puan Sri Akmal Abdul Salam yang menggesa agar golongan wanita mengetepikan perasaan takut, gentar dan khuatir untuk menjalani pemeriksaan awal kanser payu dara untuk manfaat diri.

Katanya, mentaliti dan persepsi takut untuk menjalani rawatan perlu dikikis dari benak pemikiran kerana golongan wanita perlu memberikan keutamaan kepada tahap kesihatan masing-masing.

''Kita tidak boleh berkompromi dengan kesihatan kerana sebagai ibu dan isteri, keadaan keluarga akan jadi lebih terurus sekiranya wanita itu sihat.

''Jika individu itu telah disahkan sebagai penghidap kanser payu dara, jangan tunggu, segera menjalani rawatan, berikhtiar, jangan menangis, sedih dan murung, apa yang penting kehidupan berkualiti mesti diteruskan,'' tambahnya yang juga merupakan Pengerusi kepada Beauty Unlimited Malaysia Sdn. Bhd., ketika ditemui selepas sidang akhbar penganjuran jamuan makan malam untuk membantu mengisi tabung BCWA bagi pembinaan MURNI, di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

MURNI adalah unit kenderaan bergerak pemeriksaan kanser payu dara yang akan menjelajah ke seluruh pelosok tanah air khususnya di sekitar luar bandar untuk melakukan pemeriksaan, membuat penerangan dan menyedarkan wanita tentang bahaya penyakit ini.

Dalam pada itu, Akmal turut menyeru kepada semua ahli keluarga agar memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada isteri, anak mahupun saudara mereka yang disahkan penghidap kanser payu dara.

''Kepada golongan suami terutamanya, berikan galakan kepada isteri dan temani isteri sekiranya perlu untuk mereka hadir bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mahupun prosedur yang diperlukan bagi pengesanan awal kanser.

''Sekiranya sudah ditakdirkan anda merupakan seorang penghidap kanser payu dara, jangan takut untuk menerima hakikat itu, hadapinya kerana sebenarnya, bekas pesakit kanser juga turut boleh menjalani kehidupan normal,'' tambahnya yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan sejak 10 tahun lalu ketika bersama Puteri DRB HICOM dan dilantik menjadi Penaung BCWA sejak tahun 2005.

Akmal berkata, golongan wanita perlu tahu bagaimana untuk melakukan pemeriksaan payu dara sendiri ketika berada di rumah dan jangan sesekali mempercayai perubatan secara tradisional untuk mengubati kanser.

Tambah beliau, jangkitan kanser payu dara berlaku tidak semestinya pada peringkat usia menopaus malah ia menyerang semua peringkat umur termasuk mereka yang berumur sekitar 30-an.

Jelas Akmal, selalunya penghidap kanser akan menjalani kehidupan yang panjang iaitu daripada tahap pertama hinggalah ke empat.

"Oleh itu penderitaan yang akan dilalui penghidap kanser ini bukan sekejap. Kesengsaraan ini kita boleh elakkan sekiranya dapat buat pengesanan dan mendapatkan rawatan awal.

''Malangnya, 60 peratus daripada wanita yang datang untuk dapatkan bantuan rawatan pada tahap yang lewat.

"Justeru melalui program MURNI ini, kita 'datang' sendiri kepada mereka yang berada di luar bandar untuk menyuarakan mesej kesedaran mengenai perlunya pengesanan awal kanser payu dara,'' jelasnya.

Pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai badan-badan korporat dan syarikat-syarikat yang mahu bekerjasama melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran di kalangan masyarakat.
-

No comments:

Post a Comment