Thursday, March 10, 2011

Pokok menyejukkan kediaman

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar MOHD NAZIR MOHAMED



Pokok-pokok hidup menyerikan setiap ruang.



MENGGEMARI pokok hidup yang berbunga atau pokok orkid berbunga untuk diletakkan di dalam rumah membuatkan Aliza Taher sanggup membeli pokok tersebut pada setiap bulan.

Kata Aliza, dia dan suami tidak menyukai bunga tiruan. Justeru itu, suaminya akan ke Sungai Buloh membeli pokok bunga pada setiap bulan untuk menggantikan pokok bunga yang telah gugur di rumahnya.

‘‘Kami sukakan pokok bunga orkid kerana bunganya tahan lama sehingga sebulan. Harganya pun tidaklah mahal cuma RM10 sepasu. Jika membeli bunga tiruan pun harganya lebih mahal daripada itu,’’ kata Aliza tatkala ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, selain pokok bunga untuk diletakkan di dalam rumah, boleh dikatakan seluruh persekitaran rumahnya, di depan, belakang, di atas malah di atas bumbung pun, suaminya menanam pokok-pokok bunga dan sayuran seperti pokok tomato, anggur, cili, limau kasturi dan sebagainya.

Aliza bersama-sama suami dan tiga orang anaknya, Arief Danial, 11 tahun, Adlena Yasmin, sembilan tahun dan Amalene Sophia, tujuh tahun telah enam tahun mendiami rumah teres dua tingkat yang mempunyai lima buah bilik ini.

Kawasan Bukit Jelutong menjadi pilihan kerana berhampiran dengan tempat kerjanya di Subang. Walaupun pada mulanya terasa jauh kerana Aliza dilahir dan dibesarkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur namun lama-kelamaan telah menjadi kebiasaan.

Menurut Aliza yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan ini, tidak banyak ubah suai yang dibuat pada rumah ini. Hanya dinding ke ruang makan dipecahkan dan digantikan dengan pintu kaca berbingkai kayu.

‘‘Rumah ini tidaklah besar sangat. Jadi bila dinding ini dipecahkan, nampaklah besar sikit kerana boleh nampak daripada ruang tamu. Kemudian kami buat dua jenis dapur, iaitu dapur kering di ruang makan dan dapur basah di bahagian belakang,’’ ujar Aliza.

Memilih konsep hiasan sendiri, tambah Aliza, dia jarang membeli perabot atau perhiasan rumah. Apa yang perlu sahaja akan dibeli kerana tidak suka terlalu banyak barang di rumah.

‘‘Set kerusi kayu dari Iran ini pun suami beli semasa dia bujang. Sudah 15 tahun tak pernah berganti kain kerana saya rasa masih elok lagi. Di atas kerusi panjangnya saya susun beberapa buah kusyen merah bagi menaikkan seri ruang tamu.

‘‘Kemudian saya tambah sofa berwarna coklat yang diletak membelakang ruang makan. Manakala sebuah kerusi sayap coklat diletakkan berhampiran dengan tingkap di ruang tamu,’’ kata wanita yang peramah ini.

Memang jika diperhatikan, tidak banyak barang atau perhiasan di rumah Aliza. Di ruang tamu hanya dapat dilihat sebuah meja konsol dengan bekas lilin berkaki buatan Iran dan beberapa buah perhiasan lain serta sebuah piano yang diletakkan di antara ruang tamu dan ruang makan.

Aliza membawa penulis ke ruang atas dan menunjukkan sudut di mana dia menjahit tudung pelanggan. Sudut yang dahulunya adalah sudut menonton televisyen untuk keluarga diubah menjadi tempat di mana Aliza menghasilkan kreativitinya dalam bidang jahitan tudung yang kini menjadi hobinya.

Bermacam-macam jenis dan corak kain yang cantik tergantung kemas supaya mudah dipilih oleh pelanggan yang ingin menempah tudung yang diberi nama Arlene.

Sungguhpun memilih konsep hiasan yang ringkas namun keselesaan dan ketenangan dapat dirasai kerana Aliza bijak menyusun atur dan menghias rumah.


Di bahagian luar rumah, diletakkan sebuah meja bulat dengan permukaan kaca dan empat buah kerusi untuk tetamu atau keluarga mereka bersantai di waktu senggang ditemani bunyi air yang keluar daripada dinding konkrit dan mengalir ke dalam kolam kecil mengasyikkan pandangan.


-

No comments:

Post a Comment