Monday, October 17, 2011

Mengurus Asma

Mengurus asma

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my


ASMA bukanlah penyakit asing dalam masyarakat hari ini. Malah penghidap penyakit yang sering kali bermula ketika zaman kanak-kanak itu juga dijangka akan bertambah seramai 100 juta menjelang tahun 2025.

Ini bermakna, kes bagi penyakit ini akan meningkat kepada 400 juta orang berbanding 300 juta orang yang dianggarkan oleh Laporan Pencegahan dan Pengurusan Strategi Global Asma di seluruh dunia hari ini.

Seperti umum ketahui, penyakit ini mempengaruhi semua peringkat umur, kumpulan etnik dan tahap sosioekonomi malah sekiranya ia tidak dikawal dan mendapatkan rawatan sewajarnya, ia boleh membawa maut.

Menurut Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia, Datuk Dr. Zainudin Md. Zin, di Malaysia, jumlah penghidap asma di kalangan kanak-kanak antara umur kosong hingga 14 tahun berada pada kadar 4.5 peratus. Di kalangan yang berumur 15 tahun ke atas pula ialah 4.1 peratus.

"Sebenarnya asma merupakan satu penyakit yang merbahaya dan daripada jumlah keseluruhannya, hanya satu perempat pesakit sahaja yang dapat mengawal penyakit ini manakala selebihnya tidak.

"Jika dibuat perbandingan, penduduk di negara Barat lebih mengawal penyakit ini berbanding dengan negara Asia," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, tidak dinafikan dengan adanya pelbagai teknologi dan kemudahan hari ini, pelbagai jenis penawar berjaya dihasilkan namun begitu merevolusikan rawatan dalam usaha untuk mencapai peratusan yang lebih tinggi dalam kawalan asma amat diperlukan.

Untuk itu, terbitan kaji selidik Asthma Insights and Reality in Asia-Pacific phase 2 (AIRIAP 2) baru-baru ini menyokong pentingnya keperluan untuk mengesyorkan rawatan asma berdasarkan tahap kawalan dan bukan berdasarkan tahap keseriusan sekali gus membawa kepada penilaian semula landskap asma.

AIRIAP 2 adalah kaji selidik keratan rentas berasaskan komuniti yang melibatkan 4,805 subjek dari pusat-pusat bandar serata Asia termasuk Malaysia.

Ia mengkaji hubungan di antara status kawalan asma yang diperoleh daripada Global Initiative for Asthma (GINA), Ujian Kawalan Penyakit Asma (ACT) dan penggunaan penjagaan kesihatan segera seperti kemasukan ke hospital, lawatan ke unit kecemasan atau lawatan-lawatan kecemasan lain yang tidak berjadual.

Ujar Dr. Zainudin, ACT yang telah diperkenalkan sejak tahun 2005 merupakan alat bagi pesakit menentukan tahap kawalan asma masing-masing dengan cara yang objektif.

Soal selidik ini menggabungkan skala penarafan lima peringkat bagi setiap pemboleh ubah dan jawapan dijumlahkan untuk memberikan markah dari 5 (kurang baik) kepada 25 (kawalan penuh).

Markah ini membolehkan doktor memberikan rawatan yang sewajarnya berasaskan Panduan Perubatan Protokol.

Sementara itu, Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif, menjelaskan ACT memberi peluang kepada doktor mendapatkan latihan dan maklumat terkini mengenai penyakit asma yang lazimnya tidak diuruskan dengan baik.

"Ramai pesakit hanya menggunakan ubat penyelamat apabila simptom muncul yang mengakibatkan serangan asma.

"Kami mahu berganjak daripada situasi ini dan sebaliknya menekankan kepentingan kawalan asma supaya pesakit tidak perlu menggunakan ubat penyelamat.

"Dengan adanya ACT dalam versi Bahasa Malaysia yang dikeluarkan baru-baru ini, doktor dan pesakit di Malaysia kini mempunyai sumber tambahan untuk menentukan tahap kawalan asma dengan lebih baik lagi," katanya.

Tambah beliau lagi, ACT mempercepatkan masa rundingan dengan pesakit dan membolehkan doktor memberikan rawatan yang betul secara objektif untuk mengawal sepenuhnya penyakit asma .

Ia turut menjadi harapan bahawa dengan data baru tersebut yang menyokong keperluan untuk garis panduan yang baru dan diperbaiki, pesakit asma dapat menjalani kehidupan normal dan aktif sekali gus mengurangkan kos rawatan ekoran daripada lawatan kecemasan ke hospital untuk serangan asma yang teruk.

Begitupun adalah menjadi harapan baik Dr. Zainudin mahupun Dr. Abdul Razak, mereka sebagai penyedia penjagaan kesihatan sentiasa mencari kaedah inovatif dan berkesan untuk merawat pesakit asma.

Dalam masa yang sama, pihak mereka turut memerlukan data dan statistik untuk menyokong keselamatan dan keberkesanan sesuatu kaedah itu sebelum digunakan dengan lebih meluas.

INFO.
  • ACT ialah alat yang berharga bagi doktor kerana membolehkan mereka mempercepat masa runding dengan pesakit.
  • ACT mudah digunakan bagi melatih kakitangan dan membantu menetapkan penarafan dan menylaraskan pangkalan data asma pesakit.
  • ACT mudah digunakan dan memperkasakan pesakit menjaga kesihatan diri.
  • Maklum balas positif diterima daripada pesakit melibatkan pendekat yang digunakan ACT

No comments:

Post a Comment