Tuesday, April 26, 2011

Padah mencuba suntikan kuruskan badan

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my


KEADAAN perut mangsa ketika dirawat untuk mengeluarkan nanah di salah sebuah hospital selepas gagal dalam satu rawatan kosmetik untuk menguruskan badan dengan 30 suntikan oleh seorang ejen produk kecantikan.



KUALA LUMPUR 25 April - Tindakan seorang ahli perniagaan lelaki mencuba satu produk menguruskan badan melalui 30 suntikan kosmetik dalam tempoh sejam mengundang padah apabila dia kini terpaksa menanggung kesan parut kekal di tubuhnya kesan daripada rawatan itu.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an dan enggan dikenali itu bukan sahaja terpaksa menanggung kesan parut di perut dan belakang badan, malah terdapat kesan lubang di bahagian yang disuntik itu membuatkan dia berasa tidak selesa.

Semuanya itu berlaku akibat tindakannya mencuba suntikan kosmetik untuk menguruskan badan yang diperkenalkan oleh seorang ejen produk kecantikan menerusi seorang rakannya pada tahun 2009.

Menurut ahli perniagaan itu, rakannya memberitahu produk tersebut boleh mendatangkan keuntungan dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi jika dijual di pasaran.

Namun, mangsa tidak begitu yakin dengan keberkesanan produk tersebut dan diminta untuk mencuba dahulu bagi melihat kesannya pada badan sendiri.

"Saya mencuba dahulu produk ini dengan menerima 30 suntikan di bahagian perut dan belakang badan pada Oktober 2009.

"Namun, saya tidak menyangka kesan yang akan saya tanggung sebegini," katanya pada sidang akhbar bersama Pengarah Pusat Perkhidmatan MCA Cheras, John Hon Su Kuan di sini hari ini.

Kesan daripada suntikan itu, bahagian perut dan belakang badan mangsa menjadi bintik merah, bengkak dan berlubang menyebabkan dia terpaksa berjumpa dengan lima orang pakar perubatan.

Selain mengambil kira-kira 10 biji pil antibiotik setiap hari, ahli perniagaan itu juga terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Pakar Cheras untuk mengeluarkan nanah yang terdapat dalam kesan-kesan bengkak tersebut.


No comments:

Post a Comment