Friday, June 17, 2011

Usah lengah rawat strok

Usah lengah rawat strok


SEGERA ke hospital jika merasakan diri mula menunjukkan tanda-tanda awal serangan angin ahmar atau strok.

Jangan ada istilah tunggu sebentar apabila dikesan amaran awal itu kerana sikap melengah-lengahkan sebenarnya akan membawa kesan lebih buruk.

Perkara ini mungkin pernah berlaku kepada orang tua yang biasanya mahu menunggu anak pulang dahulu dari tempat kerja sebelum membawa mereka menjalani pemeriksaan selanjutnya di hospital.

''Rawatan segera adalah langkah terbaik bagi menyelamatkan seseorang itu dari menjadi mangsa serangan angin ahmar,'' kata Penasihat Neorologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Julia Shahnaz Merican.

Sehubungan itu, sesiapa sahaja perlu peka dengan tanda-tanda serangan angin ahmar yang kini menjadi pembunuh nombor empat di Malaysia.

Dr. Julia memberitahu, setakat ini 70 peratus daripada mangsa serangan angin ahmar tidak menyedari diserang penyakit itu.

Katanya, antara tanda-tandanya ialah apabila merasa diri lemah atau kebas secara tiba-tiba pada muka, lengan dan di sebelah bahagian badan.

''Selain itu penglihatan juga menjadi kabur secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua-dua mata,'' katanya ketika menyampaikan ceramah di Forum Angin Ahmar anjuran Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tanda-tanda awal lain termasuk mengalami kesukaran untuk bertutur dan perkataan yang disebut jadi tidak jelas.

''Jika anda tiba-tiba menghadapi kecelaruan mental atau sawan epilepsi, semut-semut di bahagian dagu, clumsiness, hilang deria, pening kepala, hilang imbangan badan dan sakit kepala yang teruk tanpa sebab maka segera jalani rawatan,'' katanya.

Dr. Julia berkata, satu tanda yang jelas angin ahmar akan berlaku adalah apabila berlakunya Serangan Iskemia Sementara (TIA) atau mini angin ahmar iaitu gangguan sementara bekalan darah ke bahagian tertentu otak.

''Sekalipun gejala ini lazimnya hilang sepantas ia datang di mana pesakit akan pulih tetapi rawatan perubatan perlu kerana jika dibiarkan akan menyebabkan kerosakan otak lebih teruk,'' katanya.

Dr. Julia berkata, sekalipun risiko serangan ahmar lebih tinggi ke atas golongan tua tetapi orang muda tidak boleh memandang remeh kerana dia pernah merawat pesakit yang berusia 24 tahun.

Jelas Dr. Julia, serangan angin ahmar sehingga kini telah mula menyerang mereka yang berusia sekitar umur 30-an, 40-an dan 50-an.

Sehubungan itu, katanya, setiap orang perlu berwaspada dengan tekanan darah masing-masing khususnya kepada penghidap hipertensi.

''Tekanan darah tinggi sebenarnya yang menjadi punca utama serangan angin ahmar selain mereka yang menghidap penyakit jantung dan diabetes,'' katanya.

Sementara itu, Pakar Pertuturan dan Pantologi Bahasa dari Persatuan Pertuturan-Bahasa dan Pendengaran Malaysia (MASH), Cecilia Santiago berkata, 30 peratus daripada pesakit yang diserang angin akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi.

Katanya, ini kerana serangan angin ahmar biasanya berlaku di bahagian sebelah kiri otak yang boleh menjejaskan keupayaan bertutur dan keupayaan dalam bahasa.

Sehubungan itu, katanya, terapi pertuturan amat penting dalam usaha memulihkan keupayaan mangsa angin ahmar supaya boleh berkomunikasi dengan betul.

''Disebabkan pesakit angin ahmar sukar bertutur dan mengeluarkan suara atau bunyi yang difahami oleh orang lain maka keluarga perlu berusaha untuk membantu mereka,'' katanya.

Katanya, pesakit boleh dibantu untuk menulis, menggunakan bahasa isyarat, melukis supaya dapat berkomunikasi semula.

Bagaimanapun ia tidak mudah untuk dilakukan memandangkan pesakit biasanya akan menghadapi masalah untuk memahami atau memilih perkataan, angka atau isyarat dengan betul.

Selain itu, katanya, pesakit juga biasanya mengalami kesukaran untuk mengawal lidah dan menelan.

''Otot-otot pada lidah dan tekak adalah otot-otot yang sama digunakan untuk menghasilkan bunyi atau suara.

Sehubungan itu, kata Cecilia, terapi yang membantu kepada pertuturan juga akan membantu proses untuk menelan makanan kepada pesakit.

Tambahnya, ahli keluarga tidak perlu bercakap dengan nada yang kuat dengan pesakit sebaliknya gunakan perkataan yang senang dan mudah supaya dapat difahami dengan jelas oleh mereka.

No comments:

Post a Comment