Monday, June 20, 2011

Anai-anai dan Ancamannya

Berita Harian sabtu 18 Jun 2011



Pembasmian awal atasi ancaman

Serangan anai-anai boleh dicegah sekiranya langkah pembasmian dibuat awal yang menjamin seluruh koloni termasuk sarang dimusnahkan, namun keperluan terhadap perkara itu dianggap enteng oleh kebanyakan pemilik bangunan sehinggalah kerosakan mula dikesan.


Pengarah Urusan Etika Sihat Sdn Bhd, Ashari Sidik, mengakui kebanyakan pemilik rumah dan bangunan hanya memanggil syarikat kawalan serangga perosak apabila kerosakan sudah mencapai tahap membimbangkan dan dalam kebanyakan kes, prosedur menghapuskan anai-anai pada peringkat itu pasti menelan kos tinggi.


"Sedih melihat rumah dengan perabot dan ubah suai cantik dicacatkan anai-anai. Sayang sekali kerana tidak membuat kawalan serangga, pemiliknya melalui masalah sebegini. Sesetengah pemilik bangunan tak sedar kepentingan aspek berkenaan sehingga keberatan berbelanja untuk tujuan itu.


"Akhirnya mereka terpaksa keluarkan kos lebih besar untuk rawatan pembasmian dan menggantikan perabot yang rosak dimakan anai-anai," kata pemilik syarikat kawalan serangga itu sambil menambah tumpuan serangan anai-anai selalunya belakang perabot kayu, kabinet dapur, stor, siling dan bingkai pintu atau tingkap.


Katanya, pemaju perumahan perlu melaksanakan prosedur pembasmian anai-anai sebelum projek dimula atau diluluskan, tetapi sesetengah kawasan perumahan baru tetap mengalami serangan serangga itu, mungkin kerana kawalan anai-anai atau serangga dilakukan tidak menepati keperluan sepatutnya atau mungkin juga tidak dilakukan.


"Pemilik kediaman juga perlu tahu sesebuah projek perumahan baru biasanya mempunyai jaminan anti anai-anai bagi tempoh lima tahun. Kalau ada serangan dalam tempoh itu, mereka boleh merujuk kepada pemaju," ujarnya.


Seorang lagi pakawa kawalan serangga perosak, Paul Lee, pula berkata pencegahan lebih baik daripada membaiki kerisakan walaupun kos perlu dikeluarkan bagi khidmat kawalan serangga agak mahal.


"Jika peringkat awal serangan anai-anai, rumah masih boleh diselamatkan, tetapi memakan masa dan rawatan berterusan kerana koloni anai-anai tidak boleh dimusnahkan melalui sekali rawatan saja. Jika dibiarkan, anai-anai boleh membiak sehingga ke bumbung dan akan membahayakan struktur rumah", katanya.


Katanya, rawatan biasa bagi mengatasi ancaman itu bermula daripada rawatan tanah membabitkan penggerudian lubang kecil pada lantai untuk meletakkan bahan kimia, tetapi ramai pemilik tidak menggemari cara terbabit kerana takut ia merosakkan struktur rumah lalu memilih teknik mengumpan.











No comments:

Post a Comment