Monday, June 20, 2011

Nyawa terancam angkara anai-anai

Berita Harian Sabtu 18 Jun 2011



Nyawa terancam angkara anai-anai


80 peratus hartanah Lembah Klang diserang serangga


KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah bangunan dinasihatkan agar tidak kedekut membuat pelaburan dalam rawatan tanah di tapak projek pembinaan bagi mengelakkan serangan anai-anai, sekali gus terselamat daripada kerosakan struktur yang boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit.


Hakikatnya tidak ramai pemaju mengutamakan aspek itu sedangkan prosedur berkenaan penting kerana selalunya tidak diketahui sebesar mana saiz koloni anai-anai yang ada di satu-satu tapak projek. Pembanguanan baru kurang tiga tahun pula memerlukan rawatan prapembinaan kimia.


Bagi pemilik, mereka sewajarnya bertindak awal mengawal kerosakan sekiranya mengesan kehadiran anai-anai dan kerosakan pada struktur bangunan masing-masing.


Berdasarkan kajian, 80% daripada hartanah di Lembah Klang diancam serangga itu, namun pemilik masih tidak menghiraukan risikonya walaupun sudah banyak kes dilaporkan membuktikan ancaman anai-anai bukan saja mengakibatkan kerugian wang ringgit bahkan boleh menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa.


Satu kajian di Britain pada 1993 mendapati setiap satu daripada empat orang dewasa mengalami masalah pernafasan, eczema atau rhinnitis berpunca daripada terhidu sejenis anai-anai halus rumah yang tidak dapat dilihat. Kajian itu menyatakan anai-anai itu biasanya berada di katil yang menjadi kawasan pembiakannya.


Dua pertiga daripada 3,700 orang dewasa ditemui dalam kajian Yayasan Alergi Britain itu menyatakan mereka menghadapi masalah sepanjang hari disebabkan anai-anai berkenaan. Di negara kita, seorang guru maut terjatuh dari tingkat dua selepas terpijak lantai kayu reput dimakan anai-anai di sebuah sekolah di Alor Setar, enam tahun lalu.


Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Idris Abd Ghani, mengesyorkan kerajaan mengetatkan undang-undang terhadap pemaju perumahan supaya melakukan kawalan dan pencegahan anai-anai di tapak perumahan sebelum pembinaan dijalankan.


Beliau yang menjalankan kajian dalam bidang sistematik serangga, pengurusan serangga perosak dan kawalan biologi, berkata proses itu membabitkan pengurusan serangga perosak bersepadu yang harus dilakukan sebelum, ketika dan selepas pembinaan.


"Seharusnya ada penguatkuasaan dan ketegasan undang-undang menetapkan sesebuah projek perumahan tidak boleh diteruskan selagi pencegahan anai-anai tidak dibuat ke atas tapak projek itu. Projek juga tidak boleh dijual selagi tiada jaminan pencegahan anai-anai daripada syarikat kawalan serangga yang bertauliah," katanya.


Katanya, kawalan anai-anai bukan saja perlu dilakukan ke atas tapak perumahan, tapi juga ketika meletakkan tiang pancang serta struktur lain berasaskan kayu kerana pencegahan awal amat penting khususnya untuk kawasan tanah bekas ladang sawit, getah atau produk pertanian lain.


"Kawalan serangga disyorkan adalah yang mesra alam, tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan hidupan lain," katanya sambil menambah di Malaysia, ada kira-kira 180 spesies anai-anai termasuk 40 spesies di kawasan bandar.


Serangga berkenaan mencari habitat berdasarkan suhu dan kelembapan yang sesuai untuk mereka 'menginap' dan mencari makanan iaitu kayu dan kertas. Kadangkala faktor kesesakan di koloni sedia ada juga membuatkan anai-anai keluar mencari sarang baru.


Pembasmian awal atasi ancaman





Anai-anai dan Ancamannya

Berita Harian sabtu 18 Jun 2011



Pembasmian awal atasi ancaman

Serangan anai-anai boleh dicegah sekiranya langkah pembasmian dibuat awal yang menjamin seluruh koloni termasuk sarang dimusnahkan, namun keperluan terhadap perkara itu dianggap enteng oleh kebanyakan pemilik bangunan sehinggalah kerosakan mula dikesan.


Pengarah Urusan Etika Sihat Sdn Bhd, Ashari Sidik, mengakui kebanyakan pemilik rumah dan bangunan hanya memanggil syarikat kawalan serangga perosak apabila kerosakan sudah mencapai tahap membimbangkan dan dalam kebanyakan kes, prosedur menghapuskan anai-anai pada peringkat itu pasti menelan kos tinggi.


"Sedih melihat rumah dengan perabot dan ubah suai cantik dicacatkan anai-anai. Sayang sekali kerana tidak membuat kawalan serangga, pemiliknya melalui masalah sebegini. Sesetengah pemilik bangunan tak sedar kepentingan aspek berkenaan sehingga keberatan berbelanja untuk tujuan itu.


"Akhirnya mereka terpaksa keluarkan kos lebih besar untuk rawatan pembasmian dan menggantikan perabot yang rosak dimakan anai-anai," kata pemilik syarikat kawalan serangga itu sambil menambah tumpuan serangan anai-anai selalunya belakang perabot kayu, kabinet dapur, stor, siling dan bingkai pintu atau tingkap.


Katanya, pemaju perumahan perlu melaksanakan prosedur pembasmian anai-anai sebelum projek dimula atau diluluskan, tetapi sesetengah kawasan perumahan baru tetap mengalami serangan serangga itu, mungkin kerana kawalan anai-anai atau serangga dilakukan tidak menepati keperluan sepatutnya atau mungkin juga tidak dilakukan.


"Pemilik kediaman juga perlu tahu sesebuah projek perumahan baru biasanya mempunyai jaminan anti anai-anai bagi tempoh lima tahun. Kalau ada serangan dalam tempoh itu, mereka boleh merujuk kepada pemaju," ujarnya.


Seorang lagi pakawa kawalan serangga perosak, Paul Lee, pula berkata pencegahan lebih baik daripada membaiki kerisakan walaupun kos perlu dikeluarkan bagi khidmat kawalan serangga agak mahal.


"Jika peringkat awal serangan anai-anai, rumah masih boleh diselamatkan, tetapi memakan masa dan rawatan berterusan kerana koloni anai-anai tidak boleh dimusnahkan melalui sekali rawatan saja. Jika dibiarkan, anai-anai boleh membiak sehingga ke bumbung dan akan membahayakan struktur rumah", katanya.


Katanya, rawatan biasa bagi mengatasi ancaman itu bermula daripada rawatan tanah membabitkan penggerudian lubang kecil pada lantai untuk meletakkan bahan kimia, tetapi ramai pemilik tidak menggemari cara terbabit kerana takut ia merosakkan struktur rumah lalu memilih teknik mengumpan.











Friday, June 17, 2011

Kanser kolorektal boleh dirawat


Kanser kolorektal boleh dirawat

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

PAKAR kesihatan memang tidak menafikan bahawa kebanyakan penyakit manusia berpunca dari perut. Ini bermakna tabiat pemakanan menjadi punca utama kenapa seseorang boleh diserang penyakit.

Sakit perut biasa memang tidak tidak sama dengan kesakitan yang dialami individu apabila ada ketidakstabilan pada bahagian berkenaan.

Ketidakstabilan tersebut mungkin tanda-tanda kehadiran penyakit yang lebih serius termasuk kanser kolorektal iaitu membabitkan bahagian antara usus besar hingga ke rektum.

Pakar Bedah Am Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata memang sukar untuk mengenal pasti simptom penyakit kanser kolorektal kerana ia perlu diteliti dari pelbagai aspek.

"Simptom awal bermula dengan gastrik, banyak angin di perut, susah membuang air besar atau sembelit. Sembelit yang dimaksudkan di sini ialah keadaan di mana seseorang itu tidak membuang air besar dalam masa hingga sebulan.

"Kebanyakan kes kanser kolorektal ini menyerang mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Bagaimanapun ada juga yang terkena pada usia yang lebih muda," kata Dr. Jonah ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Tambahnya, kepayahan membuang air besar itu biasanya disertai titisan darah dengan kadar yang agak banyak.

Sakit perut merupakan peringkat terakhir kesakitan yang berlaku apabila wujud komplikasi seperti kebocoran.

"Ketika peringkat ini rawatan segera amat diperlukan," katanya.

Menurut Dr. Jonah, ketidakseragaman tabiat membuang air besar juga adalah salah satu simptom kanser kolorektal.

Selain itu, seperti kebanyakan kanser lain simptom berat badan menyusut juga perlu diawasi.

Diagnosis awal

selamatkan nyawa

"Jangan risau dengan ujian kerana itulah saja cara untuk kita mengesan penyakit dan melakukan rawatan sebaiknya," ujar Dr. Jonah.

Kecanggihan penciptaan teknologi perubatan menghasilkan satu alat berbentuk sudu kecil untuk mengesan ketumbuhan di bahagian dubur dan rektum.

"Pada peringkat awal kanser, pemeriksaan boleh dilakukan dengan hanya memasukkan jari sahaja. Daripada kemasukan jari tersebut doktor akan dapat mengesan sama ada terdapat ketumbuhan di bahagian tersebut.

"Kemudian pesakit disarankan datang semula untuk ujian kolonoskopi di mana sedikit tisu diambil dan dihantar untuk ujian di makmal.

"Jika ketumbuhannya kecil sahaja ia boleh terus dibuang dengan scoop dan tidak perlu dibedah," jelasnya.

Menurut Dr. Jonah lagi, semua jenis kanser di bahagian usus besar bermula dengan polip dan boleh dikatakan sebanyak 60 peratus polip berpeluang menjadi kanser.

"Hanya apabila ujian makmal memberitahu bahawa polip tersebut mengandungi sel kanser, barulah pembedahan dibuat, jika tidak pembedahan mungkin tidak perlu.

"Lebih baik jika individu yang berpotensi menjalani ujian najis. Ujian ini sangat penting bagi mengesan sama ada wujud pendarahan dalam najis akibat pendarahan dalam usus besar.

"Jika hospital yang merawat tidak menyediakan perkhidmatan tersebut, anda boleh membuat permintaan untuk dirujuk ke hospital lain," ujarnya.

Siapa yang berpotensi hidapi kanser kolorektal?

Biasanya ia berpunca daripada keturunan atau genatik dan jika mengikut etnik pula, orang Jawa ramai yang mengalaminya.

"Mereka yang tidak makan makanan yang kaya dengan serat juga berpotensi menghidap kanser kolorektal," katanya.

Dr. Jonah menasihati agar mengamalkan cara hidup yang sihat, makan sayuran lebih, berserat tinggi, banyakkan minum air masak, elakkan alkohol, rokok dan makanan yang pedas.


Usah lengah rawat strok

Usah lengah rawat strok


SEGERA ke hospital jika merasakan diri mula menunjukkan tanda-tanda awal serangan angin ahmar atau strok.

Jangan ada istilah tunggu sebentar apabila dikesan amaran awal itu kerana sikap melengah-lengahkan sebenarnya akan membawa kesan lebih buruk.

Perkara ini mungkin pernah berlaku kepada orang tua yang biasanya mahu menunggu anak pulang dahulu dari tempat kerja sebelum membawa mereka menjalani pemeriksaan selanjutnya di hospital.

''Rawatan segera adalah langkah terbaik bagi menyelamatkan seseorang itu dari menjadi mangsa serangan angin ahmar,'' kata Penasihat Neorologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Julia Shahnaz Merican.

Sehubungan itu, sesiapa sahaja perlu peka dengan tanda-tanda serangan angin ahmar yang kini menjadi pembunuh nombor empat di Malaysia.

Dr. Julia memberitahu, setakat ini 70 peratus daripada mangsa serangan angin ahmar tidak menyedari diserang penyakit itu.

Katanya, antara tanda-tandanya ialah apabila merasa diri lemah atau kebas secara tiba-tiba pada muka, lengan dan di sebelah bahagian badan.

''Selain itu penglihatan juga menjadi kabur secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua-dua mata,'' katanya ketika menyampaikan ceramah di Forum Angin Ahmar anjuran Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tanda-tanda awal lain termasuk mengalami kesukaran untuk bertutur dan perkataan yang disebut jadi tidak jelas.

''Jika anda tiba-tiba menghadapi kecelaruan mental atau sawan epilepsi, semut-semut di bahagian dagu, clumsiness, hilang deria, pening kepala, hilang imbangan badan dan sakit kepala yang teruk tanpa sebab maka segera jalani rawatan,'' katanya.

Dr. Julia berkata, satu tanda yang jelas angin ahmar akan berlaku adalah apabila berlakunya Serangan Iskemia Sementara (TIA) atau mini angin ahmar iaitu gangguan sementara bekalan darah ke bahagian tertentu otak.

''Sekalipun gejala ini lazimnya hilang sepantas ia datang di mana pesakit akan pulih tetapi rawatan perubatan perlu kerana jika dibiarkan akan menyebabkan kerosakan otak lebih teruk,'' katanya.

Dr. Julia berkata, sekalipun risiko serangan ahmar lebih tinggi ke atas golongan tua tetapi orang muda tidak boleh memandang remeh kerana dia pernah merawat pesakit yang berusia 24 tahun.

Jelas Dr. Julia, serangan angin ahmar sehingga kini telah mula menyerang mereka yang berusia sekitar umur 30-an, 40-an dan 50-an.

Sehubungan itu, katanya, setiap orang perlu berwaspada dengan tekanan darah masing-masing khususnya kepada penghidap hipertensi.

''Tekanan darah tinggi sebenarnya yang menjadi punca utama serangan angin ahmar selain mereka yang menghidap penyakit jantung dan diabetes,'' katanya.

Sementara itu, Pakar Pertuturan dan Pantologi Bahasa dari Persatuan Pertuturan-Bahasa dan Pendengaran Malaysia (MASH), Cecilia Santiago berkata, 30 peratus daripada pesakit yang diserang angin akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi.

Katanya, ini kerana serangan angin ahmar biasanya berlaku di bahagian sebelah kiri otak yang boleh menjejaskan keupayaan bertutur dan keupayaan dalam bahasa.

Sehubungan itu, katanya, terapi pertuturan amat penting dalam usaha memulihkan keupayaan mangsa angin ahmar supaya boleh berkomunikasi dengan betul.

''Disebabkan pesakit angin ahmar sukar bertutur dan mengeluarkan suara atau bunyi yang difahami oleh orang lain maka keluarga perlu berusaha untuk membantu mereka,'' katanya.

Katanya, pesakit boleh dibantu untuk menulis, menggunakan bahasa isyarat, melukis supaya dapat berkomunikasi semula.

Bagaimanapun ia tidak mudah untuk dilakukan memandangkan pesakit biasanya akan menghadapi masalah untuk memahami atau memilih perkataan, angka atau isyarat dengan betul.

Selain itu, katanya, pesakit juga biasanya mengalami kesukaran untuk mengawal lidah dan menelan.

''Otot-otot pada lidah dan tekak adalah otot-otot yang sama digunakan untuk menghasilkan bunyi atau suara.

Sehubungan itu, kata Cecilia, terapi yang membantu kepada pertuturan juga akan membantu proses untuk menelan makanan kepada pesakit.

Tambahnya, ahli keluarga tidak perlu bercakap dengan nada yang kuat dengan pesakit sebaliknya gunakan perkataan yang senang dan mudah supaya dapat difahami dengan jelas oleh mereka.

Khasiat organik Epal



RAMAI kalangan rakyat negara kita menghadapi masalah perut buncit dan obesiti. Penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut harus dicari sebelum ia menjadi bertambah serius. Seseorang yang obes akan berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan tubuh badan. Kaki dan lutut menjadi sakit kerana berat gara-gara mahu menampung badan yang berat selain risiko penyakit jantung, kencing manis dan cepat letih.

Penyakit tersebut salah satunya disebabkan lemak berlebihan yang tidak terbuang sehingga menyaluti bahagian yang penting dalam badan. Baik lelaki atau wanita, salah satu bahagian badan yang menjadi perhatian adalah perut. Perut yang tidak 'dijaga' bukan sahaja memberi kesan besar terhadap penampilan bahkan menggambarkan tahap kesihatan seseorang.

Gabungan organik epal menerusi fiber kolagen dan stem sel dikatakan membantu pembuangan lemak berlebihan tanpa cirit birit.

Epal dianggap raja buah-buahan yang boleh mengawal paras kolestrol secara semula jadi. Fiber dalam epal pectin tinggi. Ia boleh bergabung dengan kolestrol dan membuang lemak tidak baik sebelum lemak diserap ke dalam badan, mengawal paras glukos darah, menghalang naik turun glukos secara tiba-tiba, mengekalkan tekanan darah yang normal, mengelak sembelit, membuang toksin dari kolon dan menyelesaikan ketidakselesaan reumatik dengan meneutral asid kristal.

D'Apple Fiber mengandungi organik epal fiber dan kolagen yang tinggi membantu mengawal perut buncit, sembelit dan obesiti. Selain pengambilan makanan tambahan, organik epal fiber merupakan keperluan harian dalam pemakanan kita.

Setiap individu memerlukan 25 hingga 30 gram fiber sehari untuk membantu detoksifikasi dalam badan.

Serat larut ini juga membantu mengurangkan lemak berlebihan iaitu kolestrol dalam badan.

Bagaimanapun ramai yang tidak menyedari bahawa tidak mudah bagi mereka untuk mengambil jumlah serat yang diperlukan setiap hari sebelum lemak diserap ke dalam badan.

Fiber epal juga bertindak membuang toksin daripada dalam kolon dan mengawal fungsi usus serta dapat mengelakkan daripada sembelit.

Produk ini berbeza daripada produk lawas yang lain kerana ia tidak menyebabkan pengguna berasa sakit perut seperti memulas dan cirit-birit.

Dalam pada itu, fungsi kolagen dalam D'Apple Fiber mengelakkan kulit berkedut dan menjaga kehalusan kulit.

Ini kerana kolagen mempertahankan elastisi kulit, memperbaiki sendi, tulang dan kulit menjadi licin.

Kajian menunjukkan stem sel epal pula meningkatkan pertumbuhan sel badan, melindungi sel daripada tekanan dan mengurangkan kulit berkedut.