Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
SAPU...Reavathi membersihkan nyamuk di siling kedainya.
BATU CAVES: “Seawal jam 6.30 petang, kami memakai penutup mulut disebabkan kehadiran nyamuk yang luar biasa banyaknya berterbangan memasuki kedai dan rumah,” kata peniaga kedai runcit, G Reavathi, 28.
Reavathi yang membantu ibunya menguruskan kedai runcit di Desa Temenggung, Pinggiran Batu Caves, di sini, berkata masalah nyamuk berwarna keperangan itu menghantui pemilik rumah kedai tiga tingkat dan apartmen berdekatan sejak setahun lalu.
Menurutnya, penduduk memakai penutup mulut bagi mengelakkan serangga berkenaan memasuki mulut, selain hidung dan telinga.
BANYAK...nyamuk di siling rumah penduduk.
Katanya, kedudukan dua blok rumah kedai yang terletak kira-kira 50 meter dari loji kumbahan menjadi faktor utama masalah nyamuk di kawasan kejiranan berkenaan.
“Serangga berkenaan mula ‘menyerang’ pada waktu senja hingga awal pagi. Keadaan berbeza pada siang hari kerana mungkin disebabkan cuaca panas, nyamuk itu melekat di dinding, siling rumah dan kereta.
“Masalah menjadi lebih teruk ketika angin kencang kerana serangga itu akan memenuhi ruang kedai sehingga pelanggan lari kerana khuatir terkena gigitan nyamuk,” katanya.
Reavathi berkata, dia terpaksa membersihkan kedainya hampir setiap hari gara-gara nyamuk berkenaan. Tetapi, keadaan itu tidak bertahan lama apabila serangga itu mulai berkumpul di siling kedai dalam tempoh beberapa jam saja.
Sementara itu, suri rumah yang juga penduduk di situ, Khatijah Saad, 49, berkata sejak menetap di kejiranan berkenaan 13 tahun lalu, masalah nyamuk tidak serius, namun semakin menjadi-jadi sejak tahun lalu dan serentak dengan itu kes denggi turut dilaporkan.
Ibu empat anak itu berkata dia mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menutup tingkap rumah seawal jam 5 petang, selain tidak membenarkan anak bongsu berusia sembilan tahun keluar rumah selepas jam 6 petang.
Menurutnya, akibat peningkatan kes denggi di Desa Temenggung, Pejabat Kesihatan Gombak membuat semburan asap, namun masalah nyamuk masih tidak selesai.
Selain kewujudan loji kumbahan, Khatijah berpendapat sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata tempat menjadi faktor penyumbang kepada masalah berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhubungan Awam dan Perancangan Korporat, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohamad Zin Masaod, berkata pihak majlis akan melakukan pemeriksaan jentik-jentik dan jika didapati wujudnya tempat pembiakan, aktiviti pencegahan akan dilaksanakan.
-
No comments:
Post a Comment