Monday, April 18, 2011

Pemakanan punca obesiti

Tidak kisah apa yang dimakan

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN




Sebahagian peserta Seminar Diet Sihat Tiru Macam Saya dan Program 'Sihat Dalam Tempoh 60 Hari @ LPPKN', anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


BERMULA 1991, Kementerian Kesihatan menjalankan kempen mengurangkan pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia iaitu Kempen Cara Hidup Sihat. Itu kerana gula dikenalpasti sebagai bahan utama yang menyumbang kepada masalah kegemukan atau obesiti yang semakin meningkat di negara ini. Pengambilan gula dalam kuantiti tinggi boleh mengakibatkan tenaga berlebihan pada diri seseorang yang mana dalam jangka masa panjang, ia boleh meningkatkan berat badan. Seterusnya kerajaan menjalankan beberapa kempen, program dan aktiviti untuk menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula dalam makanan serta minuman setiap hari.
Antara kempen, program dan aktiviti secara berterusan itu adalah Kempen Kurangkan Gula yang dianjurkan pada 1998, '1 Mencukupi, Kurang Lebih Baik', Promosi Makanan Secara Sihat atau 5M Kempen Pengurangan Gula Di Kalangan Pelajar Sekolah. Selain itu, kementerian mengadakan perundingan dengan industri makanan supaya mengurangkan kandungan gula dalam produk makanan dan minuman yang dikeluarkan di pasaran. Kementerian turut mewujudkan 51 jawatan Pegawai Zat di klinik kesihatan sehingga Mac 2010 untuk menawarkan perkhidmatan rundingan berhubung amalan pemakanan sihat kepada orang ramai.


Namun, di sebalik usaha-usaha gigih kerajaan dalam melahirkan rakyat sihat dan sejahtera, masalah obesiti di negara ini masih tinggi.


Lebih membimbangkan, di Malaysia, peningkatan masalah obesiti turut membabitkan golongan kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh dan semakin banyak dialami remaja dalam lingkungan umur antara 13 hingga 17 tahun.


Pakar Diet yang juga Pegawai Dietetik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Mohammad Basri Rusdu berkata, faktor utama yang menyumbang kepada masalah obesiti di kalangan rakyat negara ini adalah sikap mereka sendiri yang tidak mengambil berat berhubung pemakanan sihat.


Jelasnya, kebanyakan rakyat Malaysia terutama yang mengalami obesiti bukannya tidak mengedari atau tidak mengetahui apa itu pemakanan sihat tetapi mereka sebenarnya tidak mengambil kisah apa yang dimakan dan diminum.


"Pemakanan sihat atau turut dikenali Diet Seimbang mempunyai prinsip-prinsipnya iaitu makanan pelbagai jenis makanan, imbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal serta makanan lebih bijirin dan kekacang. "Seseorang juga perlu makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan lemak dan kolesterol, kurangkan gula dan garam, minum air suam dalam kuantiti yang banyak serta makan bahan yang bersih.


"Kebanyakan orang sedar dan tahu pemakanan sihat adalah penting untuk kesihatan tetapi mereka tidak kisah untuk mengambil tahu mengenai prinsip pemakanan secara teliti, menyebabkan mereka mengabaikannya," katanya.


Beliau memberitahu demikian ketika ditemui wartawan selepas menyampaikan ceramah bertajuk Diet Sihat-Tiru Cara Betul, Mudah dan Selamat. Ceramah tersebut sempena Seminar Diet Sihat Tiru Macam Saya dan Perasmian Program 'Sihat Dalam Tempoh 60 Hari @ LPPKN', anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Mohammad Basri menyatakan, pada zaman moden ini, maklumat berhubung pemakanan sihat terlalu banyak dan mudah diperoleh terutama di laman Internet.


"Bagaimanapun, kebanyakan orang lebih suka mengambil jalan mudah. Sebagai contoh, mereka lebih gemar membeli makanan di luar yang sememangnya mengandungi gula, garam dan bahan perisa tambahan secara berlebihan, berbanding masak sendiri di rumah.


"Dengan sikap penjual makanan yang kurang peka berhubung pemakanan sihat kepada pengguna, ia meningkatkan risiko dan masalah obesiti di kalangan orang ramai.


"Sikap ibu bapa yang tidak kisah dalam mengawal pemakanan anak dan memasak atau membeli sajian kurang sihat turut menyumbang kepada masalah kesihatan berkenaan," ujarnya.


Tegas Mohammad Basri, faktor lain yang menjadi punca obesiti adalah keturunan, genetik, tiada senaman mencukupi, nutrisi tidak seimbang atau pengambilan makanan dalam kadar banyak, hormon, pengambilan ubat, rawatan dan virus.


Katanya, obesiti adalah penyakit kronik yang boleh menyebabkan banyak penyakit kronik lain seperti diabetes, jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan, darah tinggi, kanser serta kematian.


Jadi, Mohammad Basri menasihatkan semua orang terutama yang mempunyai penyakit kronik supaya mengamalkan diet seimbang demi menjamin kesihatan yang lebih baik.


Bagi individu yang gemar atau kerap makan pula , ujarnya, perlu lebih banyak bersenam untuk membakar lemak dalam badan.


Bukan setakat itu, para penjual atau peniaga juga harus mengambil perhatian, bertanggungjawab dan lebih prihatin untuk menyediakan pelbagai masakan sihat.


Ia termasuk mengurangkan hidangan bergoreng, masin serta manis bagi memberi banyak pilihan kepada pengguna.


Pada masa sama, beliau begitu berharap akta berhubung label makanan dikuatkuasakan kerana ketika ini banyak fakta nutrisi yang dipaparkan mengenai sesuatu produk kurang lengkap.


Sementara itu, ujarnya, individu obesiti dinasihatkan mengunjungi Klinik Obesiti di HKL bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat terbaik dalam usaha menurunkan berat melalui pemakanan sihat.


"Klinik ini berfungsi memberi kaunseling, mengubah cara pemakanan dan membuat cadangan mengenai hidangan harian yang sepatutnya dimakan kepada pengidap obesiti.


"Sekali lagi ingin saya nasihatkan kepada orang ramai supaya mengamalkan pemakanan sihat kerana ia memberi 1001 kebaikan kepada diri anda terutama pada masa depan.


"Mengamalkan diet seimbang bukannya sukar kerana hanya mengawal apa yang anda makan tetapi apa yang sukar, anda tidak mahu mengubah sikap," katanya.




Pengambilan makanan harus mengikut piramid makanan yang betul bagi mengelak obesiti



No comments:

Post a Comment