Friday, January 28, 2011

NGO kecam IMR


NGO kecam IMR

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
pengarang@utusan.com.my



Nyamuk aedes spesies diubahsuai genetik (GE).

--------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Tindakan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melepaskan nyamuk aedes spesies diubahsuai genetik (GE) secara rahsia pada Disember lalu mendapat kecaman daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Turut dipertikaikan, kenyataan penangguhan uji kaji lapangan nyamuk aedes GE yang dibuat Jabatan Biokeselamatan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar baru-baru ini yang jelas bercanggah dengan kenyataan IMR semalam.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tersebut sama ada IMR atau Jabatan Biokeselamatan yang tidak memaklumkan kepada orang ramai tentang perkara itu.

"Ujian yang dilakukan secara rahsia itu secara tidak langsung menunjukkan mereka bagaikan menafikan kebimbangan yang disuarakan oleh NGO dan orang ramai selama ini.

"Bahkan, sehingga kini beberapa persoalan khusus berkaitan keselamatan kajian tersebut kepada manusia masih tidak dijawab oleh pihak terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam menerusi satu kenyataan media, Pengarah IMR, Dr. Shahnaz Murad menyatakan telah melepaskan 6,000 ekor nyamuk aedes jantan GE dan nyamuk aedes jantan liar ke satu kawasan hutan berhampiran Bentong, Pahang pada 21 Disember lalu.

Katanya, bagaimanapun kumpulan nyamuk tersebut telah dibunuh melalui pengasapan pada 6 Januari lalu selepas eksperimen mengenai hayat dan penyebaran populasi nyamuk selesai dilakukan.

Kata Muhammad Sha'ani, FOMCA menentang keras segala ujian lapangan yang mampu memberi ancaman kepada manusia mahupun alam sekitar.

Jelasnya, meskipun IMR memberi jaminan bahawa nyamuk tersebut telah dibunuh namun segala kemungkinan mungkin boleh terjadi dan akhirnya akan membahayakan manusia.

Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerusi kenyataan media menyatakan tindakan IMR melepaskan nyamuk aedes GE secara rahsia pada Disember lalu sememangnya di luar jangkaan mereka.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kenyataan IMR semalam jelas berbeza dengan kenyataan penangguhan pelepasan nyamuk aedes GE bagi tujuan uji kaji lapangan yang dikeluarkan Jabatan Biokeselamatan.

Katanya, tindakan merahsiakan uji kaji lapangan tersebut daripada pengetahuan orang ramai sepatutnya tidak terjadi terutamanya apabila ia melibatkan keselamatan orang ramai.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_17.htm

No comments:

Post a Comment