Selepas eksperimen jangka hayat dan penyebaran populasi berakhir
6,000 nyamuk GE dibunuh
PUTRAJAYA 26 Jan. – Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah melepaskan masing-masing kira-kira 6,000 ekor nyamuk aedes jantan spesies diubahsuai genetik (GE) dan nyamuk aedes jantan liar ke satu kawasan hutan berhampiran Bentong, Pahang pada 21 Disember lalu.
Pengarah IMR, Dr. Shahnaz Murad berkata, kumpulan nyamuk tersebut bagaimanapun telah dibunuh melalui pengasapan pada 6 Januari lalu selepas eksperimen mengenai hayat dan penyebaran populasi nyamuk selesai dilakukan.
‘‘Nyamuk GE yang mandul dan tidak menggigit ini dilepaskan bersama-sama dengan nyamuk aedes jantan liar supaya perbandingan boleh dilakukan antara dua jenis nyamuk ini.
‘‘Kesemua nyamuk ini bagaimanapun telah dibunuh, ia akan disusuli dengan pemantauan selama dua bulan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini membuat keputusan untuk melepaskan nyamuk GE di kawasan tidak berpenghuni di Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka untuk tujuan eksperimen.
Sesetengah pihak termasuk Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bagaimanapun membantah pelepasan nyamuk GE yang bertujuan mengurangkan kes denggi kerana kesannya kepada manusia belum diketahui.
Shahnaz berkata, pelepasan nyamuk GE di Bentong dilakukan selepas penilaian ekstensif dijalankan selama empat tahun di makmal.
‘‘Siasatan yang ketat selama setahun turut dilakukan terhadap permohonan (untuk lepaskan nyamuk GE), ia diteliti oleh pelbagai jawatankuasa sebelum diluluskan oleh Kabinet, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Dari Utusan Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm
No comments:
Post a Comment