Friday, January 28, 2011

6,000 nyamuk GE dibunuh

Selepas eksperimen jangka hayat dan penyebaran populasi berakhir

6,000 nyamuk GE dibunuh
PUTRAJAYA 26 Jan. – Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah melepaskan masing-masing kira-kira 6,000 ekor nyamuk aedes jantan spesies diubahsuai genetik (GE) dan nyamuk aedes jantan liar ke satu kawasan hutan berhampiran Bentong, Pahang pada 21 Disember lalu.

Pengarah IMR, Dr. Shahnaz Murad berkata, kumpulan nyamuk tersebut bagaimanapun telah dibunuh melalui pengasapan pada 6 Januari lalu selepas eksperimen mengenai hayat dan penyebaran populasi nyamuk selesai dilakukan.

‘‘Nyamuk GE yang mandul dan tidak menggigit ini dilepaskan bersama-sama dengan nyamuk aedes jantan liar supaya perbandingan boleh dilakukan antara dua jenis nyamuk ini.

‘‘Kesemua nyamuk ini bagaimanapun telah dibunuh, ia akan disusuli dengan pemantauan selama dua bulan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini membuat keputusan untuk melepaskan nyamuk GE di kawasan tidak berpenghuni di Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka untuk tujuan eksperimen.

Sesetengah pihak termasuk Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bagaimanapun membantah pelepasan nyamuk GE yang bertujuan mengurangkan kes denggi kerana kesannya kepada manusia belum diketahui.

Shahnaz berkata, pelepasan nyamuk GE di Bentong dilakukan selepas penilaian ekstensif dijalankan selama empat tahun di makmal.

‘‘Siasatan yang ketat selama setahun turut dilakukan terhadap permohonan (untuk lepaskan nyamuk GE), ia diteliti oleh pelbagai jawatankuasa sebelum diluluskan oleh Kabinet, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.


Dari Utusan Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

Tuesday, January 25, 2011

DR BACKBONE CARE FOR YOUR SPINE (PRODUK PENCEGAH SAKIT BELAKANG)

Dr Backbone menjaga tulang belakang anda










ANTARA KEISTIMEWAAN PRODUK DR. BACKBONE
1. Mengurangkan sakit belakang.
2. Mencegah penyakit tulang belakang dan osteoporosis.
3. Menyokong keseimbangan kedudukan badan.
4. Mengelakkan kecacatan tulang belakang.
5. Menggalakkan postur berdiri dan duduk dengan sempurna.
6. Mengurangkan stress ketika memandu.
7. Mengelak dari terasa mengantuk dalam perjalanan jauh.
8. Baik untuk ibu mengandung kerana dapat mengurangkan gegaran sakit pinggang.
9. Bagi wanita, ianya dapat membantu mencantikkan pinggul serta membentuk tubuh b adan.
10. Bagi lelaki, ianya dapat membantu meningkatkan kemampuan tenaga seks.


http://dr-backbone.blogspot.com/2009/07/dr-backbone-menjaga-tulang-belakang.html

Sunday, January 16, 2011

Rongak? Seramai 74.5 peratus kanak-kanak Malaysia berusia enam tahun mengalami masalah gigi

Lebeh 70 peratus alami kerosakan gigi

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman @utusan.com.my
foto FAUZI BAHARUFFIN

JUFFREY Alvin Choo baru berusia lima tahun. Pada usia semuda itu, dia sudah boleh membaca, menulis dan menyelesaikan pengiraan mudah.

Kanak-kanak pintar itu juga pandai bergaul dan mudah menyesuaikan diri di sekolah. Wajahnya comel, hasil perkahwinan campur bapa berbangsa Cina, Johan Ariff Choo dan ibu, Wan Salmiza Wan Salim menjadikan sesiapa yang melihatnya 'geram' dan ingin mencubit pipi anak kecil tersebut.
BAWA anak bertemu pakar pergigian dari kecil untuk membiasakannya

Namun bila dia tersenyum sehingga menampakkan gigi, ada yang mungkin mula mentertawakannya.

"Eeeee...gigi rongak. Mana gigi adik?" tanya penulis.

"Dah simpan sebab dah hitam (merujuk kepada giginya yang dicabut sendiri dan disimpan rapi)," jawabnya sambil tersenyum menampakkan beberapa ruang kosong pada rahang atasnya.

Menurut ibunya, Juffrey sukar memberus gigi sejak kecil lagi. Setiap kali dicuba, dia akan mengemam mulutnya dan pelbagai cara sudah dicuba namun tidak berhasil.

Disebabkan gemar mengunyah gula-gula dan makanan ringan membuatkan gigi kanak-kanak comel itu cepat rosak.

Penulis percaya, pasti ramai ibu-ibu di luar sana berdepan dengan masalah ini. Walaupun kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak bukanlah satu masalah kesihatan yang serius dan ada pula yang menganggap kanak-kanak rongak sebagai comel, namun tentu lebih manis andainya mereka memiliki sebaris gigi kecil yang putih dan bersih bukan?

Kesihatan minggu ini mengupas kenapa masalah ini berlaku dan bagaimana cara mengatasinya?

Kurang kesedaran

Pakar Pergigian dan Ortodontik Kanak-kanak Prof. Dr. Nik Noriah Nik Hussien berkata, merujuk kepada Kajian Epidemiologi Kesihatan Pergigian Kebangsaan (NOSHH) pada tahun 2007 di kalangan kanak-kanak Malaysia berusia enam tahun, seramai 74.5 peratus mengalami masalah gigi.

Kawasan Kuala Lumpur katanya, mencatatkan rekod terbaik dengan 55.8 peratus kanak-kanak mengalami masalah gigi dan paling tinggi adalah Kelantan di mana 95.6 peratus kanak-kanak di situ mengalami kerosakan pada gigi susu mereka. Manakala bagi gigi kekal pula, sebanyak 10 peratus kanak-kanak mempunyai karies gigi

Dua tahun sebelumnya iaitu 2005, kajian yang sama mendapati seramai 76.2 peratus kanak-kanak berumur lima tahun mengalami masalah karies gigi atau gigi berlubang.

Kajian juga mendapati secara purata setiap seorang kanak-kanak mempunyai enam batang gigi berlubang.

Walaupun terdapat sedikit penurunan, keadaan tersebut masih dikira serius kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan 50 peratus kanak-kanak seluruh dunia patut bebas daripada masalah gigi dan setakat ini hanya 25.5 peratus kanak-kanak Malaysia berkeadaan tersebut.

"Ini menunjukkan tahap kebersihan dan kesihatan gigi kanak-kanak di Malaysia masih rendah berbanding negara Barat," kata profesor dari Jabatan Pergigian dan Ortodontik Kanak-Kanak Universiti Malaya itu.

Semua itu jelasnya berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang mengambil berat terhadap penjagaan gigi anak kerana menganggap ia akan diganti dengan gigi yang baru.

"Perlu diingat, kerosakan teruk gigi susu boleh mengundang pelbagai masalah kepada pertumbuhan semula gigi kekal kelak," katanya.

Sebagai contoh, katanya jika anak mempunyai banyak kaviti pada gigi susu, ia boleh merosakkan gigi kekal yang sebenarnya sudah terdapat di dalam gusi. Kawasan gusi di mana kerosakan gigi susu berlaku boleh dijangkiti kuman yang seterusnya merosakkan gigi kekal yang masih tertanam di dalam gusi.

Selain itu katanya, gigi susu yang tertanggal awal juga mengundang masalah maloklusi (susunan gigi) seperti jongang dan akhirnya menyebabkan kanak-kanak tadi perlu menjalani rawatan pendakap gigi.

"Ini mengundang masalah lain pula kerana merawat susunan gigi dengan pendakap memerlukan masa dan kos yang lebih tinggi," kata beliau.

Gigi susu yang baik kata beliau membantu pertumbuhan gigi kekal yang teratur kerana setiap satunya sudah mempunyai pengganti masing-masing.

Selain daripada itu, masalah gigi juga boleh disebabkan sejarah keluarga. Seandainya ibu bapa mempunyai masalah gigi, maka tidak mustahil anak juga mewarisi keadaan tersebut.

Punca

Dr. Nik Noriah berkata, antara punca kerosakan gigi kanak-kanak adalah karies awal (ECC).

Karies wujud disebabkan penghakisan kronik gigi oleh asid organik yang dihasilkan bakteria di dalam mulut ketika proses fermentasi karbohidrat daripada makanan yang diambil.

Tompokan karies awal tanpa kaviti boleh dihilangkan melalui diet rendah gula dan menjaga kebersihan gigi dengan betul.

Bagaimanapun, bila permukaan gigi mula terhakis dan kaviti berlaku, tiada lagi cara alternatif untuk menahannya.

Walaupun keadaan ini tidak mengundang maut, tetapi kesakitan akibat karies yang tidak dirawat akan membuatkan kanak-kanak tadi berdepan dengan masalah seperti tidak hadir ke sekolah, sukar untuk mengunyah makanan dan bercakap juga menjejaskan aktiviti harian dan tumbesaran mereka.

Menurut definisi kerosakan gigi Drury 1999, keadaan ECC ditafsirkan bila terdapat satu atau lebih kerosakan gigi atau gigi hilang (cabut) pada gigi susu kanak-kanak berusia 71 bulan atau lebih muda.

Karies awal yang teruk kata Dr. Nik Noriah, berlaku pada permukaan licin gigi di kalangan kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.

Satu atau lebih kerosakan atau masalah berlaku di gigi bahagian depan atas di kalangan kanak-kanak berumur antara tiga hingga lima tahun.

"Tentu ada yang bertanya mengapa bahagian gigi atas lebih cepat bermasalah daripada bawah?" soal beliau.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, kehadiran air liur yang banyak pada bahagian rahang bawah dan lidah membantu membersihkan sisa makanan secara semula jadi.

Bukan sahaja makanan, susu juga mengundang pengumpulan karies kerana minuman tersebut mempunyai gula semula jadi di dalamnya.

Masalah katanya menjadi serius apabila ibu bapa membiarkan anak-anak mereka menghisap botol susu untuk tempoh yang lama terutamanya membiarkan botol susu lekap di mulut ketika tertidur.

"Ketika tidur, penghasilan air liur akan terhenti menyebabkan pengumpukan karies berlaku dengan lebih cepat," kata beliau.

Karies gigi merebak dengan cepat selagi kanak-kanak tadi kerap mengambil makanan yang mengandungi gula dan tidak menjaga kebersihan gigi.

Kerana itu penting ibu bapa mengawal pengambilan makanan anak-anak dan memastikan mereka membersihkan gigi dengan betul.
------------------------------------------------------------------------
Kuala Lumpur mencatatkan rekod terbaik dengan 55.8% kanak-kanak menggalami masalah gigi manakala rekod terburuk adalah Kelantan iaitu sebanyak 95.6%
-
-

Thursday, January 13, 2011

Kangser perut boleh membunuh



Kanser perut boleh membunuh

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



RAMAI yang mengambil remeh apabila mengalami sakit perut. Sakit perut seringkali dikaitkan dengan keracunan makanan, perut memulas, senggugut, angin dan sebagainya.

Sakit perut yang berlarutan adalah petunjuk bahawa seseorang itu kemungkinan menghidap kanser perut.

Kanser perut berlaku atas beberapa faktor seperti kehadiran sejenis bakteria helicobacter pylori, pengambilan makanan pedas dan berasid.

“Kehadiran bakteria helicobacter pylori menyebabkan seseorang itu mengalami perut kembung dan angin.

“Makanan berasid seperti makanan yang dijeruk dan makanan yang boleh disimpan lama boleh mengganggu kesihatan perut. Sebagai contoh, insiden kanser perut yang tinggi berlaku di Jepun dan Korea kerana kebanyakan masyarakat di sana mengambil makanan berjeruk,” kata pakar bedah dan runding gastrousus, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ramesh Gurunathan ketika ditemui baru-baru ini.

Berdasarkan 10 kanser teratas yang paling umum menyerang masyarakat Malaysia, kanser perut berada di tangga ketujuh menyerang lelaki manakala di tangga yang kesepuluh menyerang wanita.

Statistik mendedahkan golongan lelaki lebih ramai mendapat kanser perut mungkin kerana tabiat minum minuman keras dan merokok.

Di Malaysia sejak tahun 1997, sekitar 700 kes baru kanser perut dilaporkan. Sedekad kemudian, angka tersebut meningkat dua kali ganda iaitu sebanyak 1,400 kes.

Daripada jumlah tersebut, setiap tahun sekurang-kurangnya 10 peratus penghidap kanser meninggal dunia. Peningkatan itu dikaitkan dengan kurangnya pengetahuan orang ramai terhadap tanda-tanda awal penyakit itu.

Gejala sama

“Tanda-tanda awal kanser perut sama seperti gastrik iaitu kembung perut, sakit perut apabila makan dan cepat kenyang.


PROSEDUR endoskopi merupakan langkah terbaik untuk mencegah kanser perut.

“Apabila ada tanda-tanda sebegini, ramai yang cuba merawat penyakit mereka dengan membeli ubat di farmasi untuk melegakan kesakitan walaupun keadaan tersebut berulang setiap bulan,” ujarnya.

Ramai yang tidak sedar bahawa ia adalah tanda-tanda awal kanser perut kerana simptomnya sama dengan sakit perut biasa dan gastrik.

“Hanya satu cara saja untuk mengesan sama ada kesakitan tersebut disebabkan kanser atau tidak ialah dengan melakukan pemeriksaan endoskopi.

“Kamera akan dimasukkan ke dalam perut bagi menjalani prosedur ini. Ia mampu mengesan ketumbuhan atau ulser dan bakteria di dalam perut. Jika seseorang itu memilih untuk merawat sendiri, maka dia akan terlepas peluang mengesan kanser pada tahap awal,” jelasnya.

Simptom kanser perut pada tahap satu dan dua sama seperti gastrik kerana ia tidak menunjukkan perbezaan. Walaupun mempunyai simptom yang sama, tetapi gastrik dan kanser perut adalah dua penyakit yang berbeza.

Seseorang yang menghidap simptom seperti tiada selera makan, berat badan turun secara mendadak, muntah-muntah sejurus habis makan dan najis berwarna hitam pada tahap tiga dan empat yang boleh menyebabkan kematian.

Kanser pada tahap dua dan tiga boleh dirawat melalui pembedahan, manakala tahap empat biasanya pesakit akan menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi kerana sel kanser telah merebak ke hati dan paru-paru.

Pemeriksaan endoskopi

Sejauh manakah jangka hayat seseorang itu apabila didiagnos menghidap kanser perut?

“Hayat seseorang pesakit itu bergantung kepada tahap kanser yang dialami. Berdasarkan statistik, 70 hingga 80 peratus pesakit berada pada tahap tiga dan empat.

BAKTERIA Helicobacter pylori antara punca kanser perut.


“Tidak ramai yang datang pada tahap satu dan dua. Jika kita merawat pesakit pada tahap awal, jangka masa hidup mereka lebih lama berbanding tahap tiga dan empat,” katanya peluang pesakit tahap tiga dan empat untuk hidup adalah antara enam bulan hingga setahun walaupun mendapat rawatan.

Di Malaysia mereka yang berumur 45 tahun ke atas adalah kelompok yang paling ramai menghidap kanser perut. Pada masa yang sama, mereka yang obes juga berisiko tinggi mendapat kanser tersebut.

Pengambilan makanan berlemak, bergoreng dan kandungan garam yang tinggi antara puncanya.

Sementara itu, pakar perunding gasteorologi Hospital Pusat Kanser Kebangsaan Tokyo, Profesor Takeshi Sano memberitahu, peningkatan kes kanser perut berpunca daripada kurang pengetahuan mengenainya.

“Sehubungan itu, pemeriksaan endoskopi sangat penting untuk mengesan sama ada seseorang itu menghidap kanser perut atau tidak lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga.

“Jika anda mengalami sakit perut yang berulang, jangan ambil ringan kerana ia mungkin kanser perut pada tahap awal,” katanya ketika ditemui pada Kongres Kanser Gastroesofagel Asia Pasifik Ketiga di Pusat Konvensyen Swan, Pusat Perubatan Sunway baru-baru ini.

KANSER perut tahap tiga dan empat boleh mengakibatkan kematian.



Bergantung kepada tahap keseriusan kanser, lebih 90 peratus pesakit sembuh melalui endoskopi dan pembedahan.

“Walaupun kanser sudah dirawat, ada kemungkinan ia berulang tetapi ia jarang berlaku. Sehubungan itu, seseorang pesakit itu harus dipantau oleh doktor selepas menjalani pembedahan atau endoskopi.

“Endoskopi bukanlah sesuatu yang menyakitkan dan prosedur itu mengambil masa antara lima hingga 10 minit. Pesakit boleh berehat satu hingga dua jam dan boleh pulang ke rumah atau melakukan aktiviti harian seperti biasa. Ia bukanlah pembedahan,” terangnya.

Di Jepun, 100,000 kes baru melibatkan kanser perut dikesan setiap tahun. Separuh daripada jumlah tersebut merupakan kanser perut pada tahap awal.

Sekitar 95 peratus dapat dirawat melalui pembedahan manakala selebihnya tampil dengan kanser pada peringkat yang tidak boleh dirawat.

“Tidak perlu malu atau takut untuk melakukan endoskopi. Sangat berbaloi melakukannya kerana ia dapat menyelamatkan nyawa anda,” tegasnya.











Monday, December 13, 2010

Pest Control / Kawalan Serangga

Etika Sihat Bantu Hapuskan Haiwan Perosak






Laporan akhbar pada 26 April menyatakan sebanyak 1,639 kes denggi dilaporkan di Kuala Lumpur sehingga 17 April lalu berbanding tempoh sama pada 2009 iaitu sebanyak 1,434 kes. Ini menunjukkan bahawa masalah demam denggi yang diakibatkan oleh nyamuk aedes tidak berkurangan sebaliknya meningkat setiap tahun.
Malah, penduduk Kuala Lumpur diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kawasan persekitaran selamat daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Berikutan itu, selain membersihkan tempat yang boleh menakung air sekali gus memberi ruang kepada nyamuk aedes membiak, satu lagi cara ialah mendapatkan khidmat syarikat pengawalan serangga untuk menjalankan kerja-kerja penyemburan racun penghapus serangga (fogging).
Salah satu syarikat Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan penyemburan racan penghapus serangga ialah Etika Sihat Sdn Bhd yang banyak terbabit dengan kerja-kerja pengawalan nyamuk aedes bersama Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha untuk menangani masalah denggi di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampiran.
Ditubuhkan sejak 1997, Etika Sihat membantu pemilik kediaman dan premis kedai, gerai serta pejabat yang menghadapi masalah membabitkan serangga perosak seperti tikus, anai-anai, lalat dan lipas.
Pengarah Urusan Etika Sihat, Mohamed Ashari Sidik berkata, juruteknik makhluk perosak syarikatnya akan memberikan khidmat nasihat percuma sebelum pelanggan boleh memilih jenis perkhidmatan yang diperlukan.
"Memandangkan sekarang sudah tiba musim hujan yang menyebabkan air mudah bertakung di merata tempat, pemilik kediaman dan premis perniagaan dinasihatkan lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan tempat mereka tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
"Satu cara yang paling berkesan dalam mengawal serta menghapuskan pembiakan nyamuk aedes ialah penyemburan asap", katanya yang berpengalaman luas berkaitan pengawalan serangga dan pernah berkhidmat di bahagian kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumput selama lebih 20 tahun sebelum menceburi bidang perniagaan setelah bersara awal dari perkhidmatan.
Etika Sihat yang terletak di No. 26 Jalan Serkut, Taman Pertama, Cheras, Kuala Lumpur boleh dihubungi melalui talian 03-92872672/92004181.
Mohamed Ashari berkata, pengawalan serangga adalah proses yang sukar kerana ia memerlukan pemahaman yang tinggi terhadap sistem biologi serangga dan cara hidup haiwan berkenaan. Oleh itu, pemilik kediaman dan premis memerlukan perkhidmatan daripada syarikat yang benar-benar berpengalaman dan terlatih.
"Kerana itu anda memerlukan perkhidmatan syarikat seperti Etika Sihat yang memiliki pengalaman serta kakitangan terlatih dan profesional untuk memberikan khidmat nasihat dan cara menghapuskan haiwan perosak yang tidak diingini.
"Rawatan kami merangkumi semua aspek, menggunakan peralatan khusus dan bahan kimia yang mesra alam", katanya.
Apa itu haiwan perosak?
Haiwan perosak adalah kumpulan haiwan yang tidak diingini kerana kehadiran mereka mendatangkan gangguan dan rasa tidak selesa kepada penghuni, boleh menyebabkan penyakit, kerosakan kepada harta benda dan peralatan.
Haiwan perosak yang tidak dialu-alukan ialah semut putih atau anai-anai, lipas, semut, nyamuk, lalat, tebuan dan lebah.
Kenali nyamuk aedes
Nyamuk aedes adalah sejenis nyamuk yang biasanya ditemui di kawasan tropika. Namanya berasal daripada perkataan Greek aedes, yang bererti "tidak menyenangkan", kerana nyamuk ini menyebarkan beberapa penyakit berbahaya seperti demam denggi. Spesies yang sering ditemui di Asia mempunyai kaki berbelang hitam putih yang terkenal sebagai penyebar denggi.
Kitaran hidup nyamuk aedes bermula dari telur hingga dewasa mengambil masa kira-kira satu minggu.
Aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan waktu senja. Ia membiak dalam air jernih yang bertakung, sama ada di dalam atau luar rumah.
Tempat pembiakan nyamuk aedes ialah dalam Rumah, akuarium, perangkap semut, pasu bunga, timba, tempayan, kolah mandi, tempat air peti sejuk, luar rumah, tayar buruk, tempurung kelapa, botol/gelas pecah yang mengandungi air, salur air hujan, tempayan, pokok pisang dan keladi, longkang yang tersekat serta tangki septik yang terdedah.

Wednesday, December 8, 2010

Bahana kencing tikus

KESIHATAN

Bahana kencing tikus

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan

BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.


Rumput

“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.


SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan

“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?amp=&=&=&=&dt=0404&pg=ke_01.htm&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&y=2010

SESAAT UiTM perangi aedes


SESAAT UiTM perangi aedes

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
kampus@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ


Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam dan Ehsan telah bergabung tenaga untuk membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai nyamuk aedes.

--------------------------------------------------------------------------------


Apabila seorang mahasiswa dilaporkan turut menjadi mangsa korban kerana nyamuk aedes, sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Alam telah mengambil inisiatif menganjurkan Program SESAAT: Sentiasa Sihat UiTM bersama persatuan penduduk Bandar Puncak Alam baru-baru ini.

Menyedari isu denggi bukan lagi sekadar isu kesihatan tetapi telah menjadi isu nasional, ahli Environmental Health Student's Association (Ehsan) dan warga Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam telah bergabung tenaga untuk membangkitkan kesedaran mahasiswa dan penduduk Bandar Puncak Alam Fasa 3 bahawa pembiakan nyamuk aedes mampu dikawal melalui penjagaan alam sekitar.

Selain itu, projek SESAAT tersebut adalah salah satu program bagi Projek Kasih Sayang 1Malaysia yang bertujuan mempromosi serta mendidik masyarakat mengenai kehidupan yang sihat melalui pemeriksaan serta pameran kesihatan, kaunseling ubat, dan ceramah kesihatan kepada masyarakat luar bandar.

Presiden Ehsan, Shukri Shuhaimee berkata, penganjuran program SESAAT ini antara lain adalah untuk membangkitkan kesedaran masyarakat tentang isu kesihatan yang selama ini dipandang ringan oleh kebanyakan orang.

“Sebagai pelajar yang bernaung di bawah Fakulti Sains Kesihatan dan Farmasi, kami berasa bertanggungjawab untuk berkongsi pengetahuan yang dimiliki bersama masyarakat untuk mengatasi masalah kesihatan terutamanya mengenai nyamuk aedes dan demam denggi yang kini telah menjadi isu nasional.

“Biarpun perjalanan program ini bermula ketika kami sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk menduduki peperiksaan, namun demi mencari pengalaman bekerja di lapangan masing-masing berusaha gigih bagi memastikan ia berjalan lancar seperti dirancangkan,” katanya.

Menurut Setiausaha Program SESAAT, Noor Amirah Ghafar, walaupun penglibatan pelajar dalam program ini dilakukan secara sukarela, namun masing-masing memberikan komitmen agar dapat berbakti kepada masyarakat.

“Melalui program ini juga, satu kaji selidik mengenai nyamuk aedes telah diadakan dari pintu ke pintu rumah penduduk Bandar Puncak Alam Fasa 3 supaya maklumat yang cuba kami sampaikan diterima setiap penduduk di sana.

“Semasa menjalankan kaji selidik tersebut, pelbagai cabaran yang perlu kami hadapi terutamanya untuk mendapatkan kerjasama daripada tuan rumah itu sendiri. Apabila mereka mengetahui kami hanyalah pelajar, soal selidik tersebut hanya dilakukan secara sambil lewa sahaja,” katanya.

Bagaimanapun menurut Amirah, segala cabaran yang perlu dihadapi sepanjang menjalankan program SESAAT ini dianggap sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai ragam manusia apabila bekerja kelak.

Sementara itu Pensyarah Fakulti Farmasi, Aida Azlina Ali berkata, program sebegini adalah peluang buat mahasiswa dari kedua-dua buah fakulti untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat.

“Program ini juga adalah laluan buat para pelajar untuk mengutip segala pengalaman dan mengaplikasikan apa yang dipelajari di dewan kuliah,” ujar Aida.