Wednesday, October 19, 2011

Menorrhagia jejas kualiti hidup





Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto AMIN FARIJ HASSAN


MUNGKIN ramai yang tidak biasa mendengar perkataan menorrhagia. Namun ia bukan sesuatu yang asing.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Haw Wan Lye berkata, hampir tiga puluh peratus atau tiga daripada 10 wanita mengalami haid yang berlebihan atau menorrhagia dari tempoh mereka baligh sehingga menopaus.

"Namun mereka mungkin malu untuk berbicara mengenainya dan ramai yang tidak faham bahawa menorrhagia sebenarnya satu masalah yang boleh dirawat.

"Kebanyakan mereka hanya membiarkan sahaja walaupun menyedari ia sebenarnya sangat mengganggu aktiviti harian, sosial dan kekeluargaan," kata beliau.

Malah katanya, lebih merunsingkan kerana menorrhagia juga sangat berkait dengan mood seseorang.
Sebarang keganjilan pada rahim boleh menyebabkan berlaku menorrhagia.

Mereka yang mengalami masalah ini akan mendapat simptom seperti sakit ketika haid, rasa pening disebabkan anemia, sesak nafas dan sakit kepala.

"Bayangkan jika anda perlu berdepan dengan masalah ini setiap kali haid, pasti ia mengganggu aktiviti dan mood seharian bukan?" katanya.

Jelas beliau, haid luar biasa dengan kuantiti yang berlebihan untuk tempoh yang lama boleh dikelaskan sebagai menorrhagia. Atau andai anda mengalami haid melebihi tujuh hari atau ia terlalu banyak sehingga memaksa anda menukar lampin wanita setiap satu atau dua jam, itu menandakan anda sedang mengalami masalah menorrhagia.

"Sebenarnya untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami menorrhagia tidak sukar. Namun kadangkala ia agak subjektif kerana dari segi pertukaran lampin wanita, ada sesetengahnya kerap menukar kerana berasa tidak selesa," kata beliau.

Bagaimanapun kata kata Dr. Haw, seseorang itu mungkin tidak sedar mereka mengalami menorrhagia kerana menganggap pendarahan mereka normal kerana ia berlaku setiap bulan tanpa berbincang dengan orang lain.

Tambah Dr. Haw lagi, masalah itu bukan sekadar melibatkan keadaan fizikal sahaja malah 60 peratus wanita yang mengalaminya terpaksa melupakan aktiviti sosial dan bersukan, 80 peratus terganggu aktiviti seksual manakala 33 peratus lagi menjejaskan urusan di tempat kerja.

Dari segi emosi pula, 77 peratus mengalami kemurungan dan moody, 75 peratus rasa berdebar-debar dan 57 peratus lagi hilang keyakinan diri.

Punca & rawatan

Masalah haid berlebihan sering berlaku kepada wanita pada peringkat berbeza dalam kehidupan mereka, kata Dr. Haw.

Biasanya ia berlaku kepada wanita berusia 30 hingga 45 tahun yang melakukan perancangan keluarga melalui kaedah mengikat salur falopian, sedang mengambil hormon atau berhenti pengambilan hormon serta wanita yang menghampiri menopaus.

Dr Haw berkata, terdapat pelbagai punca yang sering dikaitkan dengan menorrhagia.

"Ia mungkin disebabkan hormon tiriod yang tidak aktif, fibroid, polip atau kanser di dalam rahim. Namun seandainya tiada masalah yang disebutkan tadi, maka ia baru dipanggil menorrhagia," kata beliau.

Pakar kata beliau akan melakukan ujian bagi mengenal pasti andai mengalami masalah tersebut melalui beberapa siri ujian seperti anemia dan pap smear bagi mengenal pasti masalah berkaitan kanser rahim.

Selain itu, imbasan pada rahim untuk melihat sebarang keganjilan juga dilakukan bagi mengenalpasti jika terdapat masalah fibroid atau polip.

Jika tiada masalah tadi (disebut pendarahan rahim disfungsi- DUB), maka doktor akan menyarankan rawatan menorrhagia berdasarkan kepada tiga kategori.

"Biasanya ia dirawat melalui simptom terlebih dahulu misalnya, mereka yang hanya berasa sakit akan diberi ubat tahan sakit, manakala seandainya mengalami anemia akan diberi zat besi," kata beliau.

Pilihan rawatan lain adalah dengan pengambilan sejenis ubat bagi mengurangkan haid seperti ponstan dan transexamic acid dengan keberkesanan sehingga 66 peratus.

Jika cara di atas tidak membantu, pesakit akan disarankan menggunakan alat dalam rahim (IUD) seperti yang digunakan sebagai kaedah rancang kehamilan. Alat tersebut menurut doktor boleh bertahan selama lima tahun di dalam rahim.

Selain itu pil yang mengandungi hormon boleh membantu dan pengambilan perlu dilakukan selama tiga hingga enam bulan.

Mengikut prosedur lama, seandainya kesemua

Sekiranya kesemua cara di atas tidak berkesan, doktor akan menyarankan tiga kaedah bagi memusnahkan lapisan selaput dalam rahim melalui beberapa cara iaitu belon haba (75 peratus keberkesanan), gelombang mikro (80 peratus dan Novasure (95 peratus keberkesanan).

Rawat menorrhagia dengan Novasure

Digunakan lebih 10 tahun di Amerika Syarikat sebagai penyelesaian berkesan bagi mengatasi menorrhagia. Produk ini baru memasuki pasaran Malaysia lebih setahun yang lalu.

"Kaedah ini hanya melibatkan pembedahan invasif minimum yang tidak memerlukan pesakit bermalam di hospital," kata Dr. Haw.

Namun pesakit tetap akan diberi bius setempat atau keseluruhan bergantung kepada keadaan dan satu rod yang mengandungi tenaga radiofrekuensi dimasukkan melalui rahim. Menurut beliau, ia hanya mengambil masa lebih kurang 90 saat dan pesakit boleh pulang ke rumah selepas rawatan dijalankan.

Pesakit katanya tidak akan merasa sakit dan haid yang dialami berkurangan atau terhenti terus.

Mungkin ramai yang risau kerana bimbang mengalami menopaus apabila haid terhenti namun kata Dr. Haw, ia tidak berlaku.

"Perlu diingat bahawa hanya haid yang tidak datang tetapi pengeluaran hormon dan penghasilan telur pada ovari tetap berjalan seperti biasa. Jadi, proses menopaus tidak berlaku selagi ia belum sampai masanya," katanya.

Menurut beliau, rasa sakit yang berlaku ketika haid adalah disebabkan pengeluaran sejenis hormon dari badan akibat pendarahan iaitu prostagladin. Sekiranya pendarahan itu dihentikan, maka rasa sakit juga akan hilang.

Melalui kaedah Novasure jelas beliau lagi, kadar keberkesanan sangat tinggi iaitu sehingga 95 peratus dan sehingga kini, ia telah membantu lebih setuju wanita menangani masalah menorrhagia.

Menurutnya, kaedah itu kurang berisiko kecederaan ketika pembedahan dan pesakit pastinya tidak memerlukan histerektomi.

Namun katanya kaedah ini hanya sesuai bagi mereka yang merancang untuk tidak memiliki anak lagi dan tidak sesuai buat wanita yang tidak berkahwin.

Seandainya rawatan Novasure masih tidak berkesan, langkah terakhir iaitu histerektomi terpaksa juga dijalankan.

Monday, October 17, 2011

Mengurus Asma

Mengurus asma

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my


ASMA bukanlah penyakit asing dalam masyarakat hari ini. Malah penghidap penyakit yang sering kali bermula ketika zaman kanak-kanak itu juga dijangka akan bertambah seramai 100 juta menjelang tahun 2025.

Ini bermakna, kes bagi penyakit ini akan meningkat kepada 400 juta orang berbanding 300 juta orang yang dianggarkan oleh Laporan Pencegahan dan Pengurusan Strategi Global Asma di seluruh dunia hari ini.

Seperti umum ketahui, penyakit ini mempengaruhi semua peringkat umur, kumpulan etnik dan tahap sosioekonomi malah sekiranya ia tidak dikawal dan mendapatkan rawatan sewajarnya, ia boleh membawa maut.

Menurut Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia, Datuk Dr. Zainudin Md. Zin, di Malaysia, jumlah penghidap asma di kalangan kanak-kanak antara umur kosong hingga 14 tahun berada pada kadar 4.5 peratus. Di kalangan yang berumur 15 tahun ke atas pula ialah 4.1 peratus.

"Sebenarnya asma merupakan satu penyakit yang merbahaya dan daripada jumlah keseluruhannya, hanya satu perempat pesakit sahaja yang dapat mengawal penyakit ini manakala selebihnya tidak.

"Jika dibuat perbandingan, penduduk di negara Barat lebih mengawal penyakit ini berbanding dengan negara Asia," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, tidak dinafikan dengan adanya pelbagai teknologi dan kemudahan hari ini, pelbagai jenis penawar berjaya dihasilkan namun begitu merevolusikan rawatan dalam usaha untuk mencapai peratusan yang lebih tinggi dalam kawalan asma amat diperlukan.

Untuk itu, terbitan kaji selidik Asthma Insights and Reality in Asia-Pacific phase 2 (AIRIAP 2) baru-baru ini menyokong pentingnya keperluan untuk mengesyorkan rawatan asma berdasarkan tahap kawalan dan bukan berdasarkan tahap keseriusan sekali gus membawa kepada penilaian semula landskap asma.

AIRIAP 2 adalah kaji selidik keratan rentas berasaskan komuniti yang melibatkan 4,805 subjek dari pusat-pusat bandar serata Asia termasuk Malaysia.

Ia mengkaji hubungan di antara status kawalan asma yang diperoleh daripada Global Initiative for Asthma (GINA), Ujian Kawalan Penyakit Asma (ACT) dan penggunaan penjagaan kesihatan segera seperti kemasukan ke hospital, lawatan ke unit kecemasan atau lawatan-lawatan kecemasan lain yang tidak berjadual.

Ujar Dr. Zainudin, ACT yang telah diperkenalkan sejak tahun 2005 merupakan alat bagi pesakit menentukan tahap kawalan asma masing-masing dengan cara yang objektif.

Soal selidik ini menggabungkan skala penarafan lima peringkat bagi setiap pemboleh ubah dan jawapan dijumlahkan untuk memberikan markah dari 5 (kurang baik) kepada 25 (kawalan penuh).

Markah ini membolehkan doktor memberikan rawatan yang sewajarnya berasaskan Panduan Perubatan Protokol.

Sementara itu, Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif, menjelaskan ACT memberi peluang kepada doktor mendapatkan latihan dan maklumat terkini mengenai penyakit asma yang lazimnya tidak diuruskan dengan baik.

"Ramai pesakit hanya menggunakan ubat penyelamat apabila simptom muncul yang mengakibatkan serangan asma.

"Kami mahu berganjak daripada situasi ini dan sebaliknya menekankan kepentingan kawalan asma supaya pesakit tidak perlu menggunakan ubat penyelamat.

"Dengan adanya ACT dalam versi Bahasa Malaysia yang dikeluarkan baru-baru ini, doktor dan pesakit di Malaysia kini mempunyai sumber tambahan untuk menentukan tahap kawalan asma dengan lebih baik lagi," katanya.

Tambah beliau lagi, ACT mempercepatkan masa rundingan dengan pesakit dan membolehkan doktor memberikan rawatan yang betul secara objektif untuk mengawal sepenuhnya penyakit asma .

Ia turut menjadi harapan bahawa dengan data baru tersebut yang menyokong keperluan untuk garis panduan yang baru dan diperbaiki, pesakit asma dapat menjalani kehidupan normal dan aktif sekali gus mengurangkan kos rawatan ekoran daripada lawatan kecemasan ke hospital untuk serangan asma yang teruk.

Begitupun adalah menjadi harapan baik Dr. Zainudin mahupun Dr. Abdul Razak, mereka sebagai penyedia penjagaan kesihatan sentiasa mencari kaedah inovatif dan berkesan untuk merawat pesakit asma.

Dalam masa yang sama, pihak mereka turut memerlukan data dan statistik untuk menyokong keselamatan dan keberkesanan sesuatu kaedah itu sebelum digunakan dengan lebih meluas.

INFO.
  • ACT ialah alat yang berharga bagi doktor kerana membolehkan mereka mempercepat masa runding dengan pesakit.
  • ACT mudah digunakan bagi melatih kakitangan dan membantu menetapkan penarafan dan menylaraskan pangkalan data asma pesakit.
  • ACT mudah digunakan dan memperkasakan pesakit menjaga kesihatan diri.
  • Maklum balas positif diterima daripada pesakit melibatkan pendekat yang digunakan ACT