Monday, September 26, 2011

Kayap melibatkan urat saraf

Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar SAFIYANA SALIM

Kayap pada bahagian muka.
Mengalami gatal-gatal di badan pasti merimaskan tambahan pula kesakitan yang mencucuk-cucuk sehingga timbul bintik-bintik kemerahan di bahagian berkenaan.

Kemunculan bintik-bintik tersebut biasanya berlarutan selama dua atau tiga hari sebelum menggelembung dan pecah mengeluarkan cecair dengan bau kurang menyenangkan.

Malah ada juga yang mengeluarkan nanah di bahagian yang gatal itu, disusuli pula dengan sakit yang menyengat.

Bagi yang memandang remeh, pasti menganggap bintik-bintik tersebut sebagai masalah gatal biasa tetapi sebenarnya ia adalah sebahagian daripada simptom penyakit kayap.

Menurut Pakar Runding Sakit Kulit, Dr. Mohd. Noh Idris, jika terdapat simptom tersebut segeralah berjumpa dengan doktor untuk rawatan dengan segera.

"Serangan kayap ini sangat sakit kerana ia melibatkan urat saraf selain membahayakan kesihatan,'' ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Katanya lagi, keadaan ini jika tidak diberikan rawatan awal akan menjejaskan kesihatan lebih-lebih lagi jika ia menyerang pada bahagian-bahagian sensitif seperti mata.

Ular dalam tubuh

"Sebab itu, bagi pesakit yang terkena kayap di bahagian mata, kita akan rujuk kepada pakar mata untuk memastikan tidak ada perkara-perkara serius yang berlaku kepada pesakit tersebut. Kayap boleh membuatkan seseorang itu buta jika tidak dirawat," katanya.

Menurut Dr. Mohd. Noh, serangan kayap biasanya dikesan melalui kesan tompokan kemerah-merahan pada kulit dan menggelembung serta berisi air.

Bagaimanapun terdapat juga yang mengandungi nanah serta menyebabkan kulit menjadi hitam-kehitaman serta menjalar berselerak ke bahagian badan yang tertentu.

Menurutnya, pesakit yang mendapat kayap akan mengadu sakit yang mencucuk-cucuk atau kebas di atas lingkaran tersebut.

Malah pesakit juga boleh merasai mereka seperti diserang sakit jantung jika lingkaran itu merebak.

Beliau memberitahu, gelembung-gelembung berair juga akan timbul di atas lingkaran tadi.

Dalam tempoh seminggu gelembung itu akan pecah dan kering lalu mengeruping.

Terang beliau lagi, kayap adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus Varicella Zoster dan bertindak menyerang seseorang yang mempunyai daya ketahanan badan yang lemah.

"Kebiasaannya golongan warga emas menjadi sasaran utama penyakit ini kerana golongan ini lazimnya mempunyai sistem imuniti yang agak lemah.

"Bagaimanapun terdapat juga golongan kanak-kanak yang dijangkiti kayap biarpun peratusannya terlalu rendah iaitu sekitar lima peratus,'' ujarnya .

Katanya lagi, serangan kayap biasanya berlaku pada bahagian pinggang ke atas bagaimanapun ia kadangkala juga berlaku pada bahagian sulit.

Malah kajian membuktikan sebanyak 55 peratus kejadian kayap berlaku di bahagian pinggang ke atas, manakala 20 peratus di bahagian muka serta 15 peratus berlaku di bahagian bawah pusat ke bawah manakala lima peratus berlaku di bahagian sulit dan punggung.

Ditanya mengenai rawatan, beliau memberitahu, pesakit yang datang bertemu akan diberikan ubat mematikan kuman serta ubat tahan sakit.

"Biasanya ubat anti virus perlu dimakan selama tujuh hari bagi memastikan kuman tersebut betul-betul hilang ,'ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perubatan kulit.

Tegasnya lagi, sekiranya pesakit dalam keadaan yang kritikal ia akan diberikan suntikan, bagaimanapun, yang penting ialah diagnosis penyakit harus dipastikan terlebih dahulu.

Rawatan segera sangat diperlukan bagi mengurangkan kesan buruk kayap khususnya yang terkena pada mata dan mengurangkan kesan sakit.

Ditanya mengenai kepercayaan bahawa penyakit ini disebabkan oleh ular dalam tubuh pesakit, beliau menjelaskan adalah tidak benar, begitu juga kepercayaan kononnya bila lingkaran bertaut pesakit akan mati.

"Semua itu adalah karut, hakikatnya keadaan itu berlaku kerana ia berpunca daripada urat saraf yang terdapat di badan pesakit tersebut," katanya.

Tuesday, September 20, 2011

Sekat gejala hidu ubat kebas


Contoh ubat kebas yang salah guna oleh segelintir remaja untuk khayal dan berseronok.


Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 20 Sept. – Kegiatan menghidu bahan kimia untuk tujuan khayal dikesan tidak lagi terhad kepada gam bahkan ada kalangan remaja menyalahgunakan ubat kebas dikenali sebagai ‘ethylchloride’ yang biasa digunakan oleh para atlet.

Difahamkan, terdapat pelajar sekolah termasuk perempuan di sekitar Lembah Klang kini beralih menggunakan semburan ‘ethylchloride’ ini untuk khayal dan berseronok.

Kegiatan ini membimbangkan kerana pengambilan bahan kimia jenis semburan yang biasa digunakan sebagai ubat bius itu boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang menghidunya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail, kes menghidu ‘ethylchloride’ untuk khayal bukan perkara baru sebaliknya pernah dilaporkan berlaku di kalangan remaja Singapura sejak 2007.

Bagaimanapun, kata beliau, di negara ini, kegiatan menghidu ‘ethylchloride’ tidak pernah dikesan kerana mungkin menghidu gam lebih popular.

“Jika benar dakwaan ada remaja Malaysia kini menjadi penagih ‘ethylchloride’, ia amat membimbangkan dan wajar dibendung segera.

“Ini kerana ‘ethylchloride’ adalah ubat kebas bagi menghilangkan kesakitan yang hanya digunakan secara luaran dan amat berbahaya jika dihidu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mazlan, ubat semburan ini jika dihidu boleh mengkhayalkan tetapi ia akan meninggalkan kesan sampingan dan boleh memudaratkan kesihatan setelah meresap ke dalam paru-paru serta darah.

Beliau berkata, di negara ini, penjualan ‘ethylchloride’ hanya dibenarkan di farmasi tetapi orang ramai yang ingin membelinya tidak memerlukan surat preskripsi daripada doktor.

Katanya, mungkin disebabkan kelonggaran ini, maka ia disalahgunakan oleh remaja untuk mengkhayalkan diri bagi mendapatkan keseronokan.

“Penyalahgunaan ‘ethylchloride’ sama seperti kegiatan menyalahgunakan dadah jenis ketamin yang digunakan untuk pembedahan di India.

“Walaupun belum ada lagi mangsa dilaporkan mati akibat menghidu ‘ethylchloride’ setakat ini tetapi tindakan segera patut diambil untuk membendung gejala ini daripada berleluasa,” ujarnya.

..
...

Monday, September 19, 2011

Aprikot bantu cegah penyakit

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my


BUAH APRIKOT bukan setakat enak namun mempunyi kelebihan perubatan

BIJI aprikot mempunyi banyak manfaat perubatan

JIKA disebut mengenai penyakit kronik, kanser mungkin antara yang paling ditakuti ramai ketika ini. Pelbagai jenis kanser menyerang setiap anggota tubuh badan dan ia tidak mengenal sesiapa.

Merujuk kepada data, kanser merupakan antara penyebab utama kematian di seluruh dunia dengan jumlah 7.6 juta pada tahun 2008. Di Malaysia sahaja, dianggarkan 40,000 kes kanser dikesan setiap tahun dengan satu daripada empat rakyat menghidapinya.

Pakar pemakanan dan juga perubatan dari seluruh dunia mengakui, faktor makanan merupakan punca utama terjadinya kanser. Menurut mereka, hampir 90 peratus makanan yang diambil setiap hari dikenalpasti sebagai asid dan mengandungi bahan penambah seperti pewarna, perasa dan unsur kimia yang menyumbang kepada kanser.

Akibatnya, diet harian kita kekurangan khasiat dan nutrisi daya tahan tubuh badan seperti vitamin B1, B2, B3, B5, B7, B12 dan B17. Kekurangan bahan ini melemahkan daya tahan penyakit lalu mengundang masalah kronik seperti kanser, penyakit jantung, kencing manis dan lain-lain penyakit yang membunuh secara perlahan.



Nutrisi

Pada 1952, seorang saintis Bio Kimia, Dr. Ernes T Krebs mendakwa, penyakit kanser adalah penyakit kekurangan nutrisi tubuh badan.

Sekumpulan para pengkaji mendapati, haiwan liar yang hidup dalam hutan yang dikelilingi persekitaran tumbuh-tumbuhan kaya dengan kompaun vitamin B17 tidak akan dijumpai mati akibat kanser. Sebaliknya haiwan yang dipelihara dalam zoo mati walaupun diberi makanan yang kaya nutrien namun tidak mengandungi vitamin tersebut.

Daripada penyelidikan, puak Hunza yang tinggal di pergunungan Pakistan didapati hidup melebihi usia 120 tahun. Makanan utama mereka adalah biji-bijian aprikot yang kaya dengan vitamin B17. Kesihatan mereka berada pada tahap maksimum dan mereka tidak pernah tahu mengenai penyakit yang membunuh itu.

Pakar perubatan berpengalaman, Prof Dr. Sayed Zainal Husin Wafa mengakui biji aprikot mengandungi vitamin B17 paling tinggi berbanding tumbuhan lain. Menurutnya, ia dapat membantu mencegah dan merawat penyakit kanser. Dalam terapi metabolik, apabila vitamin B17 bertemu dengan sel kanser, enzim betaglucosidase yang hanya terdapat dalam sel kanser akan menghuraikan elemen vitamin B17 seterusnya membunuh sel kanser.

Vitamin B17 yang berlebihan juga akan ditukar kepada elemen-elemen positif oleh enzim Rhodanese yang terdapat dalam tubuh badan untuk kesihatan sel-sel dan membantu mengurangkan keasidan serta toksin dalam darah.

Dengan itu, ia membantu meningkatkan keseimbangan pH dalam tubuh serta memperlahankan penyebaran kanser, mengurangkan kandungan kolestrol dan membantu merawat penyakit jantung serta diabetis.

“Vitamin B17 yang terdapat dalam aprikot bukan sahaja diperkatakan di Malaysia, malah manfaatnya diakui seluruh dunia berdasarkan kajian saintifik dan klinikal,” katanya.

Namun katanya, biji aprikot yang diambil dan dimakan begitu sahaja berbahaya kerana ia terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantaran. Ia juga boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan kepada tubuh badan.

l Makanan dan agen penyumbang kanser:

Berbentuk berasid: daging, telur, ayam, nasi, mee, mihun, makaroni, spageti, ubi kentang, gula, kek, coklat, susu, yogurt, mentega, aiskrim, keju, kopi, teh.

l Mengandungi penambah: perisa tiruan, pewarna tiruan, pengawet, pemanis buatan, penaik, yis dan garam.

l Kurang zat: makanan segera, makanan dalam tin, makanan ringan dan minuman berkarbonat.

l Gaya hidup: tekanan, pencemaran alam sekitar, tidak aktif, merokok, seks bebas dan pengambilan alkohol.

Fakta Apricon Farmas Health:

l Mengandungi 100 peratus biji aprikot yang kaya dengan vitamin B17.

l Membantu mengurangkan keasidan dan toksin dalam darah.

l Membantu meningkatkan keseimbangan pH.

l Membantu memperlahankan penyebaran kanser.