Monday, March 14, 2011

Genetik tingkatkan risiko kanser kolon


Kanser kolon berisiko terhadap mereka yang berusia lebih 60 tahun.


Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


SIAPA sangka keseronokan menikmati hidup tanpa sebarang penyakit bahaya lebih separuh abad akhirnya diuji dengan penyakit kanser kolon pada usia emas.

Bukan mudah untuk mengenal pasti puncanya kerana penyakit ini tiada penyebab tunggal. Hampir semua kanser kolon bermula dengan ketumbuhan bukan kanser atau dikenali sebagai polip yang akhirnya secara senyap bertukar menjadi sel kanser.

Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, Pakar Gastroenterologi dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Selangor berkata, sesiapapun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser kolon jika usia melebihi daripada 60 tahun.

Antara risiko-risiko lain ialah makan satu diet tinggi dalam daging merah atau daging proses, mempunyai polip kolorektal, berpenyakit radang usus penyakit Crohn atau kolitis berulser) dan ahli keluarga pernah menghidap kanser usus.

Tambah Dr. Abdul Malik , sindrom genetik tertentu turut meningkatkan risiko untuk kanser kolon.

Kolon atau kolorektal, ialah kanser yang berlaku di awal usus besar (kolon) atau dubur (akhir kolon). Lain-lain jenis kanser boleh menjejaskan kolon, seperti limfoma, tumor karsinoid, melanoma dan sarkoma. Kes-kes seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah yang luar biasa.

Diagnosis awal boleh meningkatkan kesembuhan. Apa anda makan boleh memainkan peranan dalam kanser risiko usus besar anda.

Kanser kolon boleh terjadi dengan satu serat rendah yang tinggi lemak diet dan daging merah.

Merokok dan minuman beralkohol adalah faktor risiko lain yang berkaitan dengan punca kanser kolon.

Banyak kes kanser kolon tidak mempunyai gejala-gejala.

Gejala-gejala berikut bagaimanapun, mungkin menunjukkan kanser kolon:

lSakit abdomen dan rasa tidak puas selepas membuang air besar.

lDarah dalam najis.

lCirit-birit, sembelit atau perubahan lain dalam tabiat-tabiat membuang air.

lSekatan usus.

lKehilangan berat dengan tiada alasan yang diketahui.


Tanda-tanda dan ujian-ujian


Cara untuk mendiagnos penyakit kanser kolon ialah menerusi kolonoskopi dan Sigmoidoscopy. Bagaimanapun hanya melalui proses kolonoskopi membolehkan kita melihat keadaan keseluruhan kolon.

Ujian darah juga boleh dibuat untuk mengesan penyakit ini. Ujian ini dinamakan complete blood count (CBC) untuk anemia.

Ujian fungsi hati

Jika doktor anda mengesyaki yang anda mempunyai barah kolorektum, lebih banyak ujian akan diadakan untuk melihat jika kanser itu telah merebak. Ini dipanggil pemeringkatan CT atau MRI mengimbas abdomen, kawasan pinggul, dada, atau otak boleh digunakan untuk melakonkan kanser. Kadang-kadang, imbasan PET juga digunakan.


-

Thursday, March 10, 2011

Pokok menyejukkan kediaman

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar MOHD NAZIR MOHAMED



Pokok-pokok hidup menyerikan setiap ruang.



MENGGEMARI pokok hidup yang berbunga atau pokok orkid berbunga untuk diletakkan di dalam rumah membuatkan Aliza Taher sanggup membeli pokok tersebut pada setiap bulan.

Kata Aliza, dia dan suami tidak menyukai bunga tiruan. Justeru itu, suaminya akan ke Sungai Buloh membeli pokok bunga pada setiap bulan untuk menggantikan pokok bunga yang telah gugur di rumahnya.

‘‘Kami sukakan pokok bunga orkid kerana bunganya tahan lama sehingga sebulan. Harganya pun tidaklah mahal cuma RM10 sepasu. Jika membeli bunga tiruan pun harganya lebih mahal daripada itu,’’ kata Aliza tatkala ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, selain pokok bunga untuk diletakkan di dalam rumah, boleh dikatakan seluruh persekitaran rumahnya, di depan, belakang, di atas malah di atas bumbung pun, suaminya menanam pokok-pokok bunga dan sayuran seperti pokok tomato, anggur, cili, limau kasturi dan sebagainya.

Aliza bersama-sama suami dan tiga orang anaknya, Arief Danial, 11 tahun, Adlena Yasmin, sembilan tahun dan Amalene Sophia, tujuh tahun telah enam tahun mendiami rumah teres dua tingkat yang mempunyai lima buah bilik ini.

Kawasan Bukit Jelutong menjadi pilihan kerana berhampiran dengan tempat kerjanya di Subang. Walaupun pada mulanya terasa jauh kerana Aliza dilahir dan dibesarkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur namun lama-kelamaan telah menjadi kebiasaan.

Menurut Aliza yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan ini, tidak banyak ubah suai yang dibuat pada rumah ini. Hanya dinding ke ruang makan dipecahkan dan digantikan dengan pintu kaca berbingkai kayu.

‘‘Rumah ini tidaklah besar sangat. Jadi bila dinding ini dipecahkan, nampaklah besar sikit kerana boleh nampak daripada ruang tamu. Kemudian kami buat dua jenis dapur, iaitu dapur kering di ruang makan dan dapur basah di bahagian belakang,’’ ujar Aliza.

Memilih konsep hiasan sendiri, tambah Aliza, dia jarang membeli perabot atau perhiasan rumah. Apa yang perlu sahaja akan dibeli kerana tidak suka terlalu banyak barang di rumah.

‘‘Set kerusi kayu dari Iran ini pun suami beli semasa dia bujang. Sudah 15 tahun tak pernah berganti kain kerana saya rasa masih elok lagi. Di atas kerusi panjangnya saya susun beberapa buah kusyen merah bagi menaikkan seri ruang tamu.

‘‘Kemudian saya tambah sofa berwarna coklat yang diletak membelakang ruang makan. Manakala sebuah kerusi sayap coklat diletakkan berhampiran dengan tingkap di ruang tamu,’’ kata wanita yang peramah ini.

Memang jika diperhatikan, tidak banyak barang atau perhiasan di rumah Aliza. Di ruang tamu hanya dapat dilihat sebuah meja konsol dengan bekas lilin berkaki buatan Iran dan beberapa buah perhiasan lain serta sebuah piano yang diletakkan di antara ruang tamu dan ruang makan.

Aliza membawa penulis ke ruang atas dan menunjukkan sudut di mana dia menjahit tudung pelanggan. Sudut yang dahulunya adalah sudut menonton televisyen untuk keluarga diubah menjadi tempat di mana Aliza menghasilkan kreativitinya dalam bidang jahitan tudung yang kini menjadi hobinya.

Bermacam-macam jenis dan corak kain yang cantik tergantung kemas supaya mudah dipilih oleh pelanggan yang ingin menempah tudung yang diberi nama Arlene.

Sungguhpun memilih konsep hiasan yang ringkas namun keselesaan dan ketenangan dapat dirasai kerana Aliza bijak menyusun atur dan menghias rumah.


Di bahagian luar rumah, diletakkan sebuah meja bulat dengan permukaan kaca dan empat buah kerusi untuk tetamu atau keluarga mereka bersantai di waktu senggang ditemani bunyi air yang keluar daripada dinding konkrit dan mengalir ke dalam kolam kecil mengasyikkan pandangan.


-

Usah takut periksa payu dara


Oleh ROSMAH DAIN

KANSER payu dara merupakan penyakit utama yang menyebabkan kematian di kalangan wanita. Biarpun ia tidak boleh dicegah, namun jika dikesan lebih awal dan mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin, bekas pesakit kanser mampu untuk menjalani kehidupan yang normal dan aktif.

Malangnya, biarpun, pelbagai kempen dan usaha telah dijalankan untuk memastikan tahap kesedaran di kalangan wanita mengenai pentingnya untuk melakukan pengesanan awal kanser payu dara, namun hakikatnya tidak ramai yang tampil untuk menjalani rawatan.

Kekangannya bukan disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan kesedaran terutamanya golongan wanita di bandar memandangkan tahap pendidikan dan prasarana aktiviti mengenai perkara tersebut tersebar dengan meluas.

Apa yang merisaukan ialah keengganan individu itu sendiri untuk mendapatkan rawatan mahupun menjalani pengesanan awal sama ada mereka melalui 'fasa takut' menjalani rawatan, takut berdepan untuk menerima hakikat sekiranya mereka disahkan menghidap penyakit berkenaan ataupun tidak ambil peduli dan memikirkan penyakit itu tidak akan pernah 'terkena' kepada mereka.

Apa pun faktornya, perkataan 'takut' itu sendiri merupakan penyebab kepada keengganan ramai daripada golongan wanita tidak mahu menjalani pemeriksaan kesihatan mereka.

Ini diakui oleh Penaung kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Puan Sri Akmal Abdul Salam yang menggesa agar golongan wanita mengetepikan perasaan takut, gentar dan khuatir untuk menjalani pemeriksaan awal kanser payu dara untuk manfaat diri.

Katanya, mentaliti dan persepsi takut untuk menjalani rawatan perlu dikikis dari benak pemikiran kerana golongan wanita perlu memberikan keutamaan kepada tahap kesihatan masing-masing.

''Kita tidak boleh berkompromi dengan kesihatan kerana sebagai ibu dan isteri, keadaan keluarga akan jadi lebih terurus sekiranya wanita itu sihat.

''Jika individu itu telah disahkan sebagai penghidap kanser payu dara, jangan tunggu, segera menjalani rawatan, berikhtiar, jangan menangis, sedih dan murung, apa yang penting kehidupan berkualiti mesti diteruskan,'' tambahnya yang juga merupakan Pengerusi kepada Beauty Unlimited Malaysia Sdn. Bhd., ketika ditemui selepas sidang akhbar penganjuran jamuan makan malam untuk membantu mengisi tabung BCWA bagi pembinaan MURNI, di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

MURNI adalah unit kenderaan bergerak pemeriksaan kanser payu dara yang akan menjelajah ke seluruh pelosok tanah air khususnya di sekitar luar bandar untuk melakukan pemeriksaan, membuat penerangan dan menyedarkan wanita tentang bahaya penyakit ini.

Dalam pada itu, Akmal turut menyeru kepada semua ahli keluarga agar memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada isteri, anak mahupun saudara mereka yang disahkan penghidap kanser payu dara.

''Kepada golongan suami terutamanya, berikan galakan kepada isteri dan temani isteri sekiranya perlu untuk mereka hadir bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mahupun prosedur yang diperlukan bagi pengesanan awal kanser.

''Sekiranya sudah ditakdirkan anda merupakan seorang penghidap kanser payu dara, jangan takut untuk menerima hakikat itu, hadapinya kerana sebenarnya, bekas pesakit kanser juga turut boleh menjalani kehidupan normal,'' tambahnya yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan sejak 10 tahun lalu ketika bersama Puteri DRB HICOM dan dilantik menjadi Penaung BCWA sejak tahun 2005.

Akmal berkata, golongan wanita perlu tahu bagaimana untuk melakukan pemeriksaan payu dara sendiri ketika berada di rumah dan jangan sesekali mempercayai perubatan secara tradisional untuk mengubati kanser.

Tambah beliau, jangkitan kanser payu dara berlaku tidak semestinya pada peringkat usia menopaus malah ia menyerang semua peringkat umur termasuk mereka yang berumur sekitar 30-an.

Jelas Akmal, selalunya penghidap kanser akan menjalani kehidupan yang panjang iaitu daripada tahap pertama hinggalah ke empat.

"Oleh itu penderitaan yang akan dilalui penghidap kanser ini bukan sekejap. Kesengsaraan ini kita boleh elakkan sekiranya dapat buat pengesanan dan mendapatkan rawatan awal.

''Malangnya, 60 peratus daripada wanita yang datang untuk dapatkan bantuan rawatan pada tahap yang lewat.

"Justeru melalui program MURNI ini, kita 'datang' sendiri kepada mereka yang berada di luar bandar untuk menyuarakan mesej kesedaran mengenai perlunya pengesanan awal kanser payu dara,'' jelasnya.

Pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai badan-badan korporat dan syarikat-syarikat yang mahu bekerjasama melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran di kalangan masyarakat.
-