Monday, December 13, 2010

Pest Control / Kawalan Serangga

Etika Sihat Bantu Hapuskan Haiwan Perosak






Laporan akhbar pada 26 April menyatakan sebanyak 1,639 kes denggi dilaporkan di Kuala Lumpur sehingga 17 April lalu berbanding tempoh sama pada 2009 iaitu sebanyak 1,434 kes. Ini menunjukkan bahawa masalah demam denggi yang diakibatkan oleh nyamuk aedes tidak berkurangan sebaliknya meningkat setiap tahun.
Malah, penduduk Kuala Lumpur diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kawasan persekitaran selamat daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Berikutan itu, selain membersihkan tempat yang boleh menakung air sekali gus memberi ruang kepada nyamuk aedes membiak, satu lagi cara ialah mendapatkan khidmat syarikat pengawalan serangga untuk menjalankan kerja-kerja penyemburan racun penghapus serangga (fogging).
Salah satu syarikat Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan penyemburan racan penghapus serangga ialah Etika Sihat Sdn Bhd yang banyak terbabit dengan kerja-kerja pengawalan nyamuk aedes bersama Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha untuk menangani masalah denggi di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampiran.
Ditubuhkan sejak 1997, Etika Sihat membantu pemilik kediaman dan premis kedai, gerai serta pejabat yang menghadapi masalah membabitkan serangga perosak seperti tikus, anai-anai, lalat dan lipas.
Pengarah Urusan Etika Sihat, Mohamed Ashari Sidik berkata, juruteknik makhluk perosak syarikatnya akan memberikan khidmat nasihat percuma sebelum pelanggan boleh memilih jenis perkhidmatan yang diperlukan.
"Memandangkan sekarang sudah tiba musim hujan yang menyebabkan air mudah bertakung di merata tempat, pemilik kediaman dan premis perniagaan dinasihatkan lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan tempat mereka tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
"Satu cara yang paling berkesan dalam mengawal serta menghapuskan pembiakan nyamuk aedes ialah penyemburan asap", katanya yang berpengalaman luas berkaitan pengawalan serangga dan pernah berkhidmat di bahagian kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumput selama lebih 20 tahun sebelum menceburi bidang perniagaan setelah bersara awal dari perkhidmatan.
Etika Sihat yang terletak di No. 26 Jalan Serkut, Taman Pertama, Cheras, Kuala Lumpur boleh dihubungi melalui talian 03-92872672/92004181.
Mohamed Ashari berkata, pengawalan serangga adalah proses yang sukar kerana ia memerlukan pemahaman yang tinggi terhadap sistem biologi serangga dan cara hidup haiwan berkenaan. Oleh itu, pemilik kediaman dan premis memerlukan perkhidmatan daripada syarikat yang benar-benar berpengalaman dan terlatih.
"Kerana itu anda memerlukan perkhidmatan syarikat seperti Etika Sihat yang memiliki pengalaman serta kakitangan terlatih dan profesional untuk memberikan khidmat nasihat dan cara menghapuskan haiwan perosak yang tidak diingini.
"Rawatan kami merangkumi semua aspek, menggunakan peralatan khusus dan bahan kimia yang mesra alam", katanya.
Apa itu haiwan perosak?
Haiwan perosak adalah kumpulan haiwan yang tidak diingini kerana kehadiran mereka mendatangkan gangguan dan rasa tidak selesa kepada penghuni, boleh menyebabkan penyakit, kerosakan kepada harta benda dan peralatan.
Haiwan perosak yang tidak dialu-alukan ialah semut putih atau anai-anai, lipas, semut, nyamuk, lalat, tebuan dan lebah.
Kenali nyamuk aedes
Nyamuk aedes adalah sejenis nyamuk yang biasanya ditemui di kawasan tropika. Namanya berasal daripada perkataan Greek aedes, yang bererti "tidak menyenangkan", kerana nyamuk ini menyebarkan beberapa penyakit berbahaya seperti demam denggi. Spesies yang sering ditemui di Asia mempunyai kaki berbelang hitam putih yang terkenal sebagai penyebar denggi.
Kitaran hidup nyamuk aedes bermula dari telur hingga dewasa mengambil masa kira-kira satu minggu.
Aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan waktu senja. Ia membiak dalam air jernih yang bertakung, sama ada di dalam atau luar rumah.
Tempat pembiakan nyamuk aedes ialah dalam Rumah, akuarium, perangkap semut, pasu bunga, timba, tempayan, kolah mandi, tempat air peti sejuk, luar rumah, tayar buruk, tempurung kelapa, botol/gelas pecah yang mengandungi air, salur air hujan, tempayan, pokok pisang dan keladi, longkang yang tersekat serta tangki septik yang terdedah.

Wednesday, December 8, 2010

Bahana kencing tikus

KESIHATAN

Bahana kencing tikus

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan

BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.


Rumput

“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.


SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan

“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?amp=&=&=&=&dt=0404&pg=ke_01.htm&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&y=2010

SESAAT UiTM perangi aedes


SESAAT UiTM perangi aedes

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
kampus@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ


Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam dan Ehsan telah bergabung tenaga untuk membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai nyamuk aedes.

--------------------------------------------------------------------------------


Apabila seorang mahasiswa dilaporkan turut menjadi mangsa korban kerana nyamuk aedes, sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Alam telah mengambil inisiatif menganjurkan Program SESAAT: Sentiasa Sihat UiTM bersama persatuan penduduk Bandar Puncak Alam baru-baru ini.

Menyedari isu denggi bukan lagi sekadar isu kesihatan tetapi telah menjadi isu nasional, ahli Environmental Health Student's Association (Ehsan) dan warga Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam telah bergabung tenaga untuk membangkitkan kesedaran mahasiswa dan penduduk Bandar Puncak Alam Fasa 3 bahawa pembiakan nyamuk aedes mampu dikawal melalui penjagaan alam sekitar.

Selain itu, projek SESAAT tersebut adalah salah satu program bagi Projek Kasih Sayang 1Malaysia yang bertujuan mempromosi serta mendidik masyarakat mengenai kehidupan yang sihat melalui pemeriksaan serta pameran kesihatan, kaunseling ubat, dan ceramah kesihatan kepada masyarakat luar bandar.

Presiden Ehsan, Shukri Shuhaimee berkata, penganjuran program SESAAT ini antara lain adalah untuk membangkitkan kesedaran masyarakat tentang isu kesihatan yang selama ini dipandang ringan oleh kebanyakan orang.

“Sebagai pelajar yang bernaung di bawah Fakulti Sains Kesihatan dan Farmasi, kami berasa bertanggungjawab untuk berkongsi pengetahuan yang dimiliki bersama masyarakat untuk mengatasi masalah kesihatan terutamanya mengenai nyamuk aedes dan demam denggi yang kini telah menjadi isu nasional.

“Biarpun perjalanan program ini bermula ketika kami sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk menduduki peperiksaan, namun demi mencari pengalaman bekerja di lapangan masing-masing berusaha gigih bagi memastikan ia berjalan lancar seperti dirancangkan,” katanya.

Menurut Setiausaha Program SESAAT, Noor Amirah Ghafar, walaupun penglibatan pelajar dalam program ini dilakukan secara sukarela, namun masing-masing memberikan komitmen agar dapat berbakti kepada masyarakat.

“Melalui program ini juga, satu kaji selidik mengenai nyamuk aedes telah diadakan dari pintu ke pintu rumah penduduk Bandar Puncak Alam Fasa 3 supaya maklumat yang cuba kami sampaikan diterima setiap penduduk di sana.

“Semasa menjalankan kaji selidik tersebut, pelbagai cabaran yang perlu kami hadapi terutamanya untuk mendapatkan kerjasama daripada tuan rumah itu sendiri. Apabila mereka mengetahui kami hanyalah pelajar, soal selidik tersebut hanya dilakukan secara sambil lewa sahaja,” katanya.

Bagaimanapun menurut Amirah, segala cabaran yang perlu dihadapi sepanjang menjalankan program SESAAT ini dianggap sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai ragam manusia apabila bekerja kelak.

Sementara itu Pensyarah Fakulti Farmasi, Aida Azlina Ali berkata, program sebegini adalah peluang buat mahasiswa dari kedua-dua buah fakulti untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat.

“Program ini juga adalah laluan buat para pelajar untuk mengutip segala pengalaman dan mengaplikasikan apa yang dipelajari di dewan kuliah,” ujar Aida.